Bagi mengelakkan sebarang masalah atau perselisihan, suami isteri perlu bekerjasama dan saling berbincang tentang hal-hal yang berkaitan dengan urusan rumahtangga, pendidikan anak-anak mahupun kewangan.
Maka sewajarnyalah kita berhijrah meninggalkan sikap yang lama iaitu mementingkan kerehatan diri sendiri setelah pulang bekerja sama ada suami atau isteri dan mengabaikan tugas dan peranan sebagai ahli keluarga. Mereka seharusnya bekerjasama dan bersabar dalam membina kerukunan rumahtangga. Suami isteri harus bijak dan berlatih membahagikan masa serta saling bertoleransi antara satu sama lain kerana hasil yang baik tidak mungkin dapat dikecapi tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dan berpenat lelah terlebih dahulu.
Suami harus menyedari tentang beban pasangannya. Dia patut bersikap berkasihan belas kerana banyak perkara yang perlu si isteri lakukan dalam masa yang singkat seperti menjaga kebajikan suami dan anak-anak, pendidikan anak-anak, urusan rumahtangga dan keperluan dirinya sendiri. Si isteri pula jangan mementingkan diri sendiri tetapi turut menghalusi beban yang ditanggung oleh suami dalam meningkatkan ekonomi keluarga. Jelas di sini bahawa seisi keluarga harus saling memahami masalah dan beban tugas masing-masing dalam pekerjaan, rumahtangga dan pendidikan anak-anak. Di samping itu, bebanan yang wujud ini menimbulkan pelbagai emosi yang positif dan negatif. Bagi mengekalkan keharmonian dalam keluarga, masing-masing perlu berperanan menjaga emosi pasangannya.
DALAM HATI ADA ALLAH
10 years ago
No comments:
Post a Comment