Esok Jumaat 18/12/2009, hari permulaan tahun baru 1431H bagi takwin Islam.
Awal Muharram (Maal Hijrah) bermula sempena memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Mekah ke Kota Madinah dalam tahun 622 masihi. Peristiwa perpindahan ini merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus.
Hijrah dalam Islam merujuk kepada peralihan daripada sesuatu yang buruk atau kurang kepada yang baik atau sempurna. Antaranya hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi sebagai asas ajaran Islam itu sendiri.
Kebiasaannya kita berazam pada tahun baru masihi, sewajarnya kita juga berazam semasa ketibaan tahun baru hijrah. Ya, azam ke arah pengisian rohani dan keagamaan. Umpamanya kepada mereka yang tidak pernah sembahyang berazam untuk mula bersembahyang, mereka yang sembahyang tetapi tidak cukup lima waktu berazam untuk melengkapkan sembahyang lima waktu dan mereka yang sembahyang lima waktu berazam untuk meningkat kualiti sembahyang mereka.
Kita juga boleh berazam perkuatkan fahaman aqidah, syariat dan akhlak kita. agar iman dan takwa kita semakin kukuh. Semakin rapat kita dengan Allah s.w.t. maka makin tenang jiwa kita menghadapi kehidupan dunia fana yang penuh cabaran dan dugaan ini.
DALAM HATI ADA ALLAH
10 years ago
No comments:
Post a Comment