Firman Allah dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud; "Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari seksaan api neraka"
Berdasarkan ayat ini, ternyatalah suami isteri bertanggungjawab untuk berusaha mendidik anak-anak sejak dari kecil dengan asas keimanan iaitu rukun-rukun dan prinsip-prinsip agama yang luhur. Bagi mengimbangi didikan yang diterima oleh anak-anak, ibu bapa juga perlu meluaskan dalam memberi pendidikan seperti pendidikan akademik, jasmani, akal, kejiwaan dan kemasyarakatan. Ini supaya anak-anak dapat membesar dalam keadaan seimbang sebagai seorang anak yang soleh.
Ibu bapa perlu bersama-sama melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak. Sikap meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada guru dan para pendidik dalam urusan pembelajaran anak-anak perlulah diubah. Hijrah sikap yang sebegini amat penting kerana anak-anak juga terbentuk dan terdidik oleh pengaruh persekitaran. Oleh itu, mentaliti ibu bapa perlu diubah atau di’hijrah’kan dengan mewujudkan persekitaran yang baik yang terdiri daripada ibu bapa sendiri, guru, sekolah, masyarakat dan media yang menjurus ke arah pembentukan insan yang soleh, berguna dan cemerlang.
Keluarga cemerlang memerlukan anak-anak yang terdidik dengan sifat kasih sayang, penuh ketaatan dan rasa tanggungjawab. Anak merupakan amanah Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya. Kelahirannya seumpama kain putih bersih daripada noda dan kekotoran duniawi. Justeru, yang mencorakkan warna-warnanya adalah ibu bapa sendiri. Anak memainkan peranan yang penting untuk menjadikan suasana yang harmoni dalam keluarga.
Ibu bapa perlulah memberi didikan yang sempurna kepada anak-anaknya sama ada ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi. Dengan didikan yang sempurna ini, anak-anak dapat memikirkan perkara yang baik dan buruk, seterusnya mentaati ibu bapanya yang melahirkannya ke dunia. Taat kepada ibu bapa ini bukanlah taat kepada perkara yang mungkar seperti meninggalkan sembahyang, puasa dan lain-lain, tetapi ketaatan seorang anak itu adalah atas perkara yang makruf dan yang diredhai Allah s.w.t.
Perlulah diingat bahawa seorang anak tidak boleh berlaku kasar atau menzalimi kedua-dua ibu bapanya sekalipun sekadar menyebut perkataan ‘ah’ kerana ia sudah dianggap menderhaka dan berdosa besar.
DALAM HATI ADA ALLAH
10 years ago
1 comment:
anak2 juga dengan sendirinya bertanggungjawab ke atas diri masing2 setelah baligh untuk mendidik diri mengukuhkan keimanan dengan menghadiri majlis2 ilmu.. =)
Post a Comment