...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Tuesday, October 21, 2008

Aidilfitri satu memori indah

Hari ini 21 Oktober 2008, juga bersamaan 21 Syawal 1429H. Bagi kanak-kanak Hari Raya Pusa telah masuk hari ke-21. Manakala bagi golongan berumur yang yang menyambung 'Puasa Tua' (puasa 6 hari dalam bulan Syawal bermula 2 syawal) meraikan hari raya ke-14.

Dahulu, di Jelebu sana, Aidil Fitri adalah hari raya yang sangat membahagiakan zaman kanak-kanak saya. Dunia anak kecil semuanya indah. Aidil fitri berarti hari tamat sebulan berpuasa. Bermula petang 27 Ramadhan kami akan menyediakan pelita, atau menyusun tempurung kelapa pada batang-batang kayu yang ditegakkan di sekeliling halaman rumah. Pada malam 7 Likur itu kami akan memasang pelita atau membakar tempurung kelapa yang siap disusun menjadikan suasana malam tersebut dan malam-malam seterusnya sehingga malam 1 Syawal dalam suasana ceria dan terang benderang dengan cahaya lampu.

Pada malam raya, di Kampung Seperi, Kuala Klawang Jelebu tempat kelahiran saya, pelita minyak tanah yang di pasang sekeliling setiap halaman rumah menjadikan malam raya cukup ceria, indah dan terang benderang. Di terangi cahaya pelita itu kami anak-anak masa itu akan beramain beramai-ramai. Di malam lebaran itu, selesai solat Mahgrib, golongan lelaki dewasa akan bertakbir secara bergiliran dari satu rumah ke rumah lainnya di kampung kami. Selepas bertakbir rombongan itu dijamu dengan hidangan hari-raya.

Untuk pengunjung blog saya ini yang merayakan Aidil Fitri, saya mengucapkan selamat Menghayati Aidil Fitri 1429H. Maaf lahir dan batin. Semoga amal ibadah kita sepanjang Ramadhan ini diterima oleh Allah SWT. Juga, semoga keberkatan Ramadhan dan Syawal kali ini berlanjut hingga di Ramadhan akan datang.