...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Thursday, August 28, 2008

SEK. KEB. SEPERI TENGAH catatan 2

Hari pertama bersekolah: Saya masih ingat emak mengejutkan saya dari tidur yang lena sejak awal pagi. Waktu itu di kampung saya belum ada kemudahan air paip dan elektrik.

Diterangi pelita minyak tanah, emak memimpin saya ke perigi. Di perigi emak mencedok air dengan timba bertali belati, mencurahnya ke dalam tempayan naga (pasu besar dengan gambar naga). Setelah tempayan naga itu penuh diisi air, emak memandikan saya. Terasa sangat sejuk bila air perigi di hening pagi itu menyentuh kulit badan saya. Siap mandi mak lap seluruh badan saya, dan membalutnya dengan kain cukin (tuala mandi).

Balik ke rumah emak menjinjing sebaldi air sambil saya berjalan di hadapan dalam keadaan tubuh mengiggil kesejukan. Hari masih gelap namun sekeliling kampung telah riuh. Agaknya semua orang kampung bangun awal pagi, macam keluarga saya juga!

Emak menyiapkan saya berpakaian, melumur minyak dan menyikat rambut saya dengan rapi, serta menyapu bedak ke muka saya. Emak kata "amboi segaknya Abang Cik, macam ni la anak mak!". Saya senyum pada mak dan rasa bangga.

Seterusnya mak menyiapkan sarapan pagi: air teh susu panas dengan nasi goreng kesukaan saya. Mak suruh saya makan kenyang-kenyang, takut lapar masa di sekolah nanti. Ajaibnya, tubuh saya yang menggigil bertukar segar dan sangat bersemangat untuk pergi sekolah.... ah hari pertama saya ke alam persekolahan![]

Tuesday, August 26, 2008

SEK. KEB. SEPERI TENGAH catatan 1

Ahad lepas, 24 Ogos 2008, semasa dalam perjalanan balik ke rumah Mak, aku melihat sekolah lamaku. Kini punya pagar yang cantik mengelilingi seluruh kawasannya di samping bangunan baru yang agam. Apa lagi, memori lama pun timbul di fikiran:

Sekolah itu namanya Sekolah Kebangsaan Seperi Tengah, Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan, ia sekolah pertama yang bertindak menitip kesempurnaan hidupku ini (tahun 1968). Dahulu hanya ada 4 orang guru yang begitu memikat hati betugas di sekolah rendah kampungku ini; Cikgu Hussin, Cikgu Hamzah, Cikgu Md. Isa dan Ustaz Abd. Rahman. Guru Besarnya Cikgu Hussin bin Abd. Rashid.

Selain menjawat jawatan Guru Besar, Cikgu Hussin juga merangkap guru darjah 1 dan 2. Seingatku beliau terus mengajar darjah 1 dan 2 sehingga aku berada dalam darjah 6. Cikgu Hussin sangat garang menurutku dan teman-temanku ketika itu.

Uztaz Abdul Rahman mengajar kami subjek Pengetahuan Agama Islam. Beliau berkulit cerah dan kurus orangnya, terkenal dengan fesyen rambut P. Ramlee (seniman agong negara Malaysia).

Seterusnya Cikgu Md. Isa guru darjah 4 dan 5. Aku kurang mengenalinya mungkin kerana waktu dia bertugas di sekolah kami, aku masih berada dalam darjah 1. Dalam pengetahuanku semua murid sekolah kami mengelarnya Cikgu Bersumbi Emas (sebatang gigi disalut dengan emas). Beliau bertugas di sekolah kami sehingga tahun 1971. Memang aku tak dapat merasa dia mengajar aku dan kawan-kawan sekelasku.

Cikgu Hamzah bin Hassan pula mengajar darjah 3 dan 4, seorang guru yang sangat baik. Selain menjadi guru darjah 3 dan 4, beliau juga mengajar sukan dan olahraga.

Ustaz Abdul Rahman berpindah ke sekolah lain semasa aku berada dalam darjah 3. Beliau diganti oleh Ustaz Muhammad bin Mohammad Rum yang mengajar subjek Agama Islam. Ustaz Muhammad ini terlalu baik dan sangat menyayangiku. Aku sering didukungnya sejak dari darjah 3 hinggalah berada dalam darjah 6 ketika aku meniti usia 12 tahun.

Melalui jerih-payah merekalah, kami anak Melayu kampung Seperi yang buta huruf ini lambat-laun menjadi pandai membaca, menulis, dan mengira. Sangat besar jasa mereka kepada kami, yang mungkin hingga kini tak pernah dapat kami balas.

Dalam pengetahuanku, setiap guru darjah mengajar semua mata pelajaran yang terkandung dalam sukatan mata pelajaran darjah terbabit kecuali Pengetahuan Agama Islam, yang khusus diajar oleh Ustaz. Agaknya masa itu (tahun 1968-1973) seorang guru sekolah rendah wajib menguasai semua mata pelajaran, meliputi slibus yang ditetapkan Kementerian Pelajaran masa itu.

Ada satu lagi yang tak pernah kulupa, yaitu kerani (pembantu tadbir) sekolah kami yang biasa dipanggil Pakcik Ujang. Orangnya berkulit cerah, baik, dan tidak banyak mulut. Bagaimanapun semasa berada dalam darjah 2, Pakcik Ujang tidak kelihatan lagi di sekolah kami, agaknya dia berpindah ke tempat lain.[]

Friday, August 15, 2008

hari ini ada kesempatan

Ada kesempatan sebentar untuk menjengok internet. Agak sibuk selepas cuti panjang. Belum ada kesempatan untuk menulis lagi...