...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Friday, June 27, 2008

Walimatulurus Catatan 3


Hujung minggu ini saya sekeluarga balik kampung lagi. Menguruskan majlis menyambut pulang anakanda Khairiyanti dan Mohd Nazry di Jelebu. Majlis diadakan hari Sabtu terakhir bulan Jun ini; pada 28/06/2008. Memenuhi hajat mak meraikan cucu kesayangannya bersekali dengan majlis doa selamat.

Seronok tengok kerabat terdekat kami berkumpul, semuanya tekun saling membantu menjayakan majlis ini. Jarang-jarang kami dapat berkumpul seceria ini!



Acara perarakan pengantin diiringi kumpulan kompang Kampung Seperi, Jelebu. Kata orang kalau nak dengar dan tengok bunyi kompang yang benar-benar asli inilah dia. 100% kompang tanpa ada element alat muzik lain. Bunyi kompang ditepuk saling bertingkah dan sangat harmoni. Sedap telinga mendengarnya, jiwa yang lesu segar rasanya...



Inilah muzik warisan para Ulamak kami, kelebihan tanah bertuah daerah Jelebu. Lahirnya benar-benar menurut adat, terpelihara dari celaan Agama Islam pakaian kami. Kelainannya, keasliannya, khazanah seninya tidak melampau dan tidak keterlaluan. Tidak disula pengaruh luar. Semestinya hak orang Jelebu tu luar biasa!


Dikatakan orang tentang kelebihan hak kami ini, alim ulamak Jelebu pernah menyebutkan suatu masa dahulu:

Jelebak Jelebu
Tuaikan padi tigo tangkai;
Kalbu terkena kemat Jelebu
Nyawa tak mati, badan merasai...

Sirih pinang selera pinang
tangan kanan jari manis
Yang duduk pandang berdiri pun pandang
Si Jelebu ni juga dipandang manis!



Ya Allah Ya Tuhan Kami,

Satukanlah hati kedua mempelai ini seperti Engkau satukan hati Adam dan Hawa, Yusuf dan Zulaikha, dan seperti Engkau satukan hati Muhammad SAW dan Siti Khadijah...


Berkati pernikahan kedua-duanya dengan perasaan persefahaman, bersatu hati dan kurniakanlah kepada anakanda berdua ini sebaik-baik perkongsian hidup dan kasih mesra selama-lamanya serta kebaikan dan keberkatan di dunia dan akhirat.



Amin Ya Rabbal 'Alamin.


Majlis kami ini berlangsung dengan sangat sempurna. Syukur Alhamdulillah!

LANGKAWI catatan perjalanan 3


Menjelang tengahari kami menuju Kompleks Kota Mahsuri. Lokasinya lebih kurang 12 kilometer di barat laut pekan Kuah. Di sinilah letaknya makam Mahsuri binti Pandak Mayah, wanita yang terkenal kejelitaannya - tokoh lagenda paling terkemuka di Langkawi yang telah difitnah melakukan perkara curang terhadap suaminya.. Mengikut lagenda, ketika dibunuh mengalirlah darah berwarna putih dari tubuhnya, sebagai bukti beliau perempuan suci yang tidak pernah berlaku curang.


Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Mahsuri bersumpah bahawa Langkawi akan dilanda bencana dan tidak akan aman makmur selama tujuh keturunan. Kini setelah tempoh sumpahnya tamat, Langkawi dilimpahi pula dengan kemakmuran dan pembangunan.


Saya dimaklumkan oleh orang Langkawi yang berwibawa bahawa Makam Mahsuri di dalam komplek ini merupakan sebuah replika. Makam persemadian Mahsuri yang sebenar telah dipindahkan ke suatu tempat yang dirahsiakan bagi mengelakkan kejadian kurafat dan pemujaan berlaku lagi di situ.



Kami sempat juga menjejak telaga Mahsuri di mana dia pernah bermandi-manda dan membasuh di situ. Dahulu telaga itu terletak di pinggir sawah padi keluarganya.

Selamat Hari Lahir Hakim


Alahai… rupanya hari lahir adik Hakim dah terlepas beberapa hari lalu.

Namun tak apalah, saya hendak juga ucapkan selamat hari lahir untuk Hakim.

Buat adik Hakim abang doakan semoga berbahagia selalu melayari kehidupan di alam fana ini dan dimurahkan rezeki hingga ke akhir hayat.

Thursday, June 26, 2008

Bertamu di blog adik Alya



Lama juga tak menjengok kawan-kawan di MuslimSocial.Com. Semalam baru tahu Adik Alya dah ada blog baru. Tapi semalam tak berkesempatan ke blog adik Alya, sibuk sangat dengan kekangan kerja.


Hari ini Khamis 26/06/2008 ada masa terluang, saya pun berkunjung la. Rupanya dah lama juga adik Alya buka blognya, saya saja yang tak tahu!

Buat adik Alya abang ucapkan selamat berbahagia melayari kehidupan di alam fana ini dan semoga berjaya dalam kerjaya adik.

Wednesday, June 25, 2008

LANGKAWI catatan perjalanan 2


Kami bertolak dari Kuala Lumpur Jam 10.30 malam dan tiba di Kuala Perlis Jam 6.30 pagi. Sempat bersolat subuh di Jeti Kuala Perlis. Waktu subuh di Kuala Perlis tidak sesak, malah terasa nyaman dan sangat selesa.

Pengalaman pertama kami sekeluarga menaiki feri di awal pagi. Hanya kabus yang menghiasi pandangan, berpasangan pula dengan air laut yang beriak-riak kecil bila dirempuh feri yang kami naiki. Syukurlah keadaan laut tenang dan kami sekeluarga tidak rasa pening. Takut juga kalau-kalau kami mabuk laut ….

Kami tiba di Jeti Kuah, Langkawi pada jam 8.30 pagi dan terus bersarapan kerana perut terasa sangat lapar. Isteriku makan dua keping roti canai, manakala aku dan anak menikmati kueytiow goreng ala Langkawi. Bila perut telah kenyang kami memulakan XPDC Langkawi.

Maka langkah pun diatur menuju destinasi pertama di Perusahaan Gamat dan Herba Asli warisan Hj. Husin Salleh yang sangat terkenal di serata Malaysia dengan jenamanya "Sireh Lagenda".


Kami sekeluarga dapat melihat sendiri bagaimana minyak gamat dihasilkan. Seronoknya melihat anak dan isteriku mencelup tangan ke dalam sekuali dara minyak gamat yang masih terjerang di atas tungku! Aku pun turut sama mencelup tangan... hangat!

Kalau Pulau Besar di Melaka dianggap sebagai kawasan banyak keramat, Pulau Pangkor di Perak terkenal dengan makanan laut keringnya, kini aku dan keluarga juga merasai kehebatan gamat Pulau Langkawi. Ya, GAMAT PULAU LANGKAWI MEMANG HEBAT!

Tuesday, June 24, 2008

Kalau memang rezeki atas izinNya....


Hari Sabtu 21/06/2006 jam 6.03 petang terima telefon daripada Abang Ngah (Angah), bertanya pukul berapa nak datang rumahnya.

Ya Allah. Saya betul-betul terlupa. Malam ini rumah Angah nak adakan majlis doa selamat dan kesyukuran.


Saya beritahu Angah, kami sekeluarga masih di Kuala Lumpur bersiap-siap nak pergi Muar. Mujurlah Angah call. Kalau tidak, tak tahulah nak cakap apa... kasihan juga pada angah dan keluarganya.

Saya berjanji kami sekeluarga akan hadir. Ada rezeki la ni.


Saya terus beritahu isteri dan anak bersiap untuk balik Jelebu. Bertolak senja itu juga dan dijangka sampai rumah Angah sekitar jam 8.00 malam.

Kata Angah majlis akan bermula selepas solat Isya. Masih ada masa dan tak perlu tergesa-gesa sangat.


Kami pun packing semua keperluan untuk balik kampung dan ke Muar nanti. Isteriku pastikan semuanya seperti yang diperlukan.

Dari Kuala Lumpur perjalanan lancar melalui jalan Genting Peras. Tiba di rumah Angah tepat jam 8.15 malam. Tetamu sudah ramai yang hadir.


Majlis malam ini berjalan lancar sebagaimana yang dirancang. Seronok sangat rasanya dapat berkumpul bersama sanak-keluarga jauh dan dekat. Tak terasa masa pantas beredar.



Jam 12.15 malam saya dan keluarga minta diri untuk balik ke Kampung Durian Gasing, untuk tidur dan rehat secukupnya. Esok kami akan bertolak ke Muar pula....

Friday, June 20, 2008

Walimatulurus Catatan 2


Hujung minggu ini; 22/06/2008 kami sekeluarga dan kerabat terdekat bertandang pula ke Derah Muar, Jajahan Kesultanan Johor. Ke mana lagi kalau tidak menghantar anak dan menantu kesayangan ke rumah besan kami di Parit Rabu.


Kali ini tibalah giliran kami rombongan dari Kuala Lumpur membalas kunjungan orang Muar yang menjadi tetamu kami pada hujung minggu lepas.

Benarlah diriwayat oleh orang Melayu sejak dahulu:
adat bertamu berbalas kunjungan
adat berbesan beramah mesra ke akhir hayat
.



Inilah masanya mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan dua keluarga yang telah diikat dan disatukan melalui perkahwinan... kini sudah ada jambatan menghubungkan orang Muar dan orang Jelebu....


Saya nampak wajah mak mengalir air mata. Maklumlah CUCU KESAYANGAN WAN DAH JADI MILIK ORANG! Saya rasa macam bermimpi pula... hehehe



Seronok sangat kami rombongan dari Jelebu/Kuala Lumpur disambut dengan layanan 1st class. Hutang emas boleh dibayar, tapi hutang budi orang Parit Rabu Muar Johor ini rasanya akan dibawa mati!

Tuesday, June 17, 2008

LANGKAWI catatan perjalanan 1


Semalam anak saya bertanya ayah kata hari tu nak publish trip kita ke Langkawi dalam blog ayah. Dah siap ke ayah?

Alamak… saya lupa habis tentang hal ni. Belum la sayang.. tak apa, siap nanti kita tengok sama-sama. Lepas tu bolehlah Dikno ajak kawan-kawan tengok..’ Ini saja yang dapat saya lakukan…buat janji pada anak kesayangan saya.

Catatan perjalanan dah ramai orang buat.. bermacam-macam gaya presentation dipapar di pelbagai blog rasmi dan peribadi. Saya juga apa kurangnya.. mahir menulis maka mampulah melahirkan hasil tulisan dengan gaya saya yang tersendiri… hehehe:

Apa rahsia Langkawi ?
Menurut mantan perdana menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad “kata doktor, bila saya mai Langkawi, darah tinggi saya turun rendah. Jadi, inilah ubat yang mustajab untuk saya jadi cermat, tenang dan sabar”.

Tengoklah Saya dan isteri ke Langkawi ini pun nak juga rasa ubat yang mustajab itu selain menemani anak mengisi masa cuti sekolahnya!

Setahu saya pula, pulau legenda itu yang dulunya hanya perkampungan nelayan mundur, menjadi pulau pelancongan bertaraf antarabangsa yang gah di serata dunia. Status bebas cukai yang diperoleh pada 1987, mendorong ekonomi di pulau itu bergerak pantas, sekali gus membolehkan penduduk menikmati pembangunan yang sangat terancang itu.


Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) sebagai badan pelaksana, memulakan operasi pada April 1990 bertanggungjawab membangunkan Langkawi dalam tempoh 20 tahun. Kini, berbaki dua tahun lagi, Lada berjaya menjalankan fungsinya melakar Langkawi sebagai Bandar Raya Pelancongan di peta dunia.

Sebenarnya LANGKAWI BERMAKSUD HELANG COKLAT. LANG ialah panggilan rengkas burung helang oleh orang Melayu, manakala KAWI adalah warna coklat menurut istilah Melayu kuno. Itulah asalnya nama Pulau Langkawi di Negeri Kedah.

Monday, June 16, 2008

Walimatulurus Catatan 1


Sabtu lepas 14/06/2008 anakandaku Khairayanti telah selamat diijabkabul dengan anakanda menantuku Mohd Nazry. Dia anak alahyarhamah Kal Long, tapi aku dan isteriku rasakan seperti anak kami sendiri. Banyak pahit-manis kami suami-isteri berkongsi dengannya. Alahai Yanti anak Pak Wok dan Mak Wok! Kakak Dik Nur la, siapa lagi....





Hari Ahad 15/06/2008 majlis bersanding di Kuala Lumpur. Bertemakan warna kuning keemasan, begitulah gambaran hati dan perasaan kami dan kerabat terdekat. Seronok rupanya perasaan hati bila mendapat menantu.




Susah untuk saya dan isteri merakamkan perasaan hati kami ini... Hanya orang yang pernah mengalaminya yang faham dan tahu erti kegembiraan itu....

Pada Abang Long terima kasihlah kerana dapat sama-sama berkongsi anakandamu dan kegembiraan ini.

Wednesday, June 11, 2008

Adik eROL ku di Riau


Lama juga tidak mendengar khabar berita dari Adik eROL di Batam, Riau, Indonesia. Rasa rindu pada adik. Harapan abang moga adik eROL sihat ya. Istimewanya Adik eROL pandai berpuisi.

Masa makan tengahari saya luang masa melawat blognya. Bagusnya ada puisi baru yang sangat puitis:

SIAPA AKU
Penyair Kelana Bersyair

Menjejakan kaki dipunggung kulit bumi
Dengan langkah jumawa
Dan seakan lupa pada asal kejadian
Terkadang merasa paling hebat ketika menatap langit
Siapa aku?.

Engkau berasal Dari sesuatu yang menjijikan
Dan akhirnya akan menjadi bangkai
Yang juga sangat menjijikan
Engkau ada diantara dua keadaan demikian itu
Yang slalu membawa kotoran
Kemanapun engkau melangkah dimuka bumi ini

Siapa aku?.
Engkau adalah bangkai yang sedang berjalan
Menuju ke liang kubur
Dan suara itu akan slalu bergema
Dari kedalaman jiwa insan yang bertaqwa

Asal dari tanah
Akan kembali menjadi tanah
Namun jiwa tetap abadi
Dan akan kembali kedalam genggaman Ilahi

Maka melangkahlah dengan pasti
Berbekal amal yang sholeh
Serta iman yang mampu menembus
Kedalam tujuh lapis perut bumi dengan sempurna.

June.03.2008. JOHEROL AMRULLAH/eROL


Salam sayang abang buat adik. Sampai jumpa lagi..

Tuesday, June 10, 2008

Kenaikan Harga Minyak Dan Rebat Tunai VS Salahguna Pihak Tertentu

Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan mulai Khamis 5 Jun 2008 Malaysia menaikkan harga minyak petrol dan diselnya sekitar 40 peratus.

Perdana Menteri juga telah mengumumkan rebat tunai sekitar RM625 setahun akan diberikan kepada para pemilik kenderaan kecil dan sederhana. Pemberian rebat ini bertujuan mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah. Yang menjadi tandatanya bagaimana subsidi itu akan disalurkan kepada masyarakat luar bandar, biarpun pada teori ia nampak hebat! Rakyat memang patut khuatir skim ini akan disalahguna oleh pihak tertentu. Sebabnya dari segi enforcement Barisan Nasional tidak ada rekod yang baik, atau tidak cukup infrastruktur staff yang boleh mengimplementasikannya. Sebenarnya inilah kebimbangan bagai kita rakyat Malaysia golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Khuatir skim ini disalahguna oleh golongan tertentu!

Kesannya seluruh rakyat Malaysia gelisah. Dari segi ekonomi langkah ini memang tidak boleh dielakkan, tidak ada pilihan lain. Menurut para pemerhati politik di Malaysia, langkah yang diambil Datuk Seri Abdullah itu adalah sesuatu yang berani terutamanya setelah beliau gagal meraih mandat yang kuat sewaktu pilihanraya yang lalu.
Biarlah pihak pembangkang dari Barisan Alternatif mencari kesempatan membidas pemerintahan Datuk Seri Abdullah atas kenaikan harga minyak itu. Tidak adil kita menyalahkan kerajaan kerana ini bukan isu tempatan, tapi isu global.

Rakyat Malaysia sebenarnya semakin bijak dan bermaklumat. Kenaikan harga minyak dan harga makanan sebenarnya menjadi isu runcing secara global. Di negara Itali pada 3 Jun 2008 lalu, satu pertemuan telah di adakan oleh Bangsa-bangsa Bersatu untuk mencari jalan penyelesaian sebelum krisis ini menjadi teruk. Di Indonesia, Filipina dan Thailand pula telah berlaku tunjuk perasaan diadakan secara besar-besaran atas kenaikan harga makanan dan minyak. Isu ini perlu ditangani secepat mungkin.

MENGGUNA WANG KERTAS SECARA BOROS RUPANYA PUNCA INFLASI

Sekarang pergi ke mana saja orang sibuk mengatakan harga barang-barang telah naik! Ahli ekonomi pula mengatakan "itulah tanda inflasi di Malaysia". Salah satu kesan inflasi adalah fenomena turunnya daya beli wang. Inflasi terjadi sebab jumlah wang beredar menjadi jauh lebih banyak daripada barang/perkhidmatan yang tersedia. Inflasi pasti terjadi sepanjang kita menggunakan wang kertas. Bagi Kerajaan, inflasi adalah "pajak gadai" tersembunyi atas tabungan warga negara. Namun sebaliknya inflasi sangat menguntungkan mereka yang memiliki hutang. Bagaimana hendak keluar dari inflasi? Shopping secara sederhana, gunakan tukaran emas dan perak, serta cuba kurangkan penggunaan wang kertas.

Monday, June 9, 2008

Mengimbas Era Perang Dingin dengan Iklim Politik Kita

Khabarnya pakatan sulit (conspiracy) CIA dan NAZI mewarnai dan menyerlahkan mood perang dingin. Era itu seluruh dunia jadi gelisah, bimbang dan tak keruan. Kisahnya 90% maklumat perisikan pakatan itu adalah palsu, hanya 10% sahaja yang betul sedang kos perisikan itu menelan belanja berjuta-juta dollar! Yang mengaut semua keuntungan itu khabarnya adalah kalangan anggota perisikan NAZI yang diibaratkan GERGAJI MATA DUA.

Saya bimbang juga politik kita setelah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 seiras zaman Perang Dingin.

Sebab itu kita rakyat Malaysia harus bijak mengimbangi antara ilmu dan aplikasinya, berfikir dengan cekap dan berkesan,seterusnya mampu memilih Wakil Rakyat (YB) yang mempunyai integriti tinggi serta sentiasa bersikap jujur dan ikhlas dalam menunaikan tanggungjawabnya.

Untuk ini menjadi berkesan tontonlah slot siaran langsung dari Parlimen Malaysia ihsan RTM, meneliti setiap tindak-tanduk YB yang memanaskan kerusi Dewan Rakyat, melihat apa janji yang mereka buat waktu meraih undi khalayak dan apa yang mereka minat sangat usahakan dan laksanakan dalam tempoh 5 tahun mereka bergelar YB?

Jangan biarkan YB itu membuat kerja lama; asyik mengira elaun dan laba yang mereka terima, sebaliknya suruh mereka meneroka kerja baru untuk keuntungan dan kesejahteraan kita sebagai rakyat yang telah memilih dan mengundi mereka..

Monday, June 2, 2008

SMBT Alumni

Saya cuba menghimpunkan sahabat-sahabat lama yang sama-sama menuntut di Sekolah Menengah Bandar Tinggi (kini bertukar nama SMK Datuk Undang Musa Al-Haj), Jelebu Negeri Sembilan.
Sudilah kiranya semua bekas pelajar SMBT menyertai blog ini. Hyper-rangkaian ke blog peribadi masing-masing boleh dibuat dengan e-mel atau sms kepada saya pada bila-bila masa.

Silalah semak apakah anda telah menyertainya: Mukadimmah Pun Bermula...