...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Friday, December 30, 2011

RAHSIA ISLAM KEJADIAN (FITRAH) MANUSIA

Ada orang yang fikir ‘orang yang peluk Islam ni sekadar mencari apa-apa agama sahaja yang sesuai dengan kehendak nafsu hati sendiri’. Kalau betullah anggapan itu saya akan pilih agama yang lebih senang untuk dianuti dan dipraktik.

Sebenarnya Islam agama yang indah dan cantik tapi ia tak sentiasa mudah. Kita perlu banyak berlawan (berjuang) dengan diri sendiri. Misalnya orang bukan Islam selalu kata “daging babi itu sedap dan lazat. Ia adalah menu paling lazat di dunia ini” Nafsu mengajak kita “jomlah rasa, kalau tidak pun rasalah sedikit untuk the first and the last, tak ada orang yang tahu kalau kita makan pun”. Ugama Islam memperingatkan bahawa Allah swt mengharamkan memakan daging babi atas sebab-sebab yang kukuh. Kerana saya berugama Islam dan berpegang kepada “Lafaz Dua Kalimah Syahadah” iaitu:

أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ

Maksudnya: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah”.

MAKA saya mengambil keputusan tepat untuk tidak menyentuh makanan yang mengandungi unsur babi. Saya putuskan babi itu haram untuk saya sehinggalah bercerai nyawa dari tubuh badan (jasad) saya. Sebenarnya tidak ada sesiapa pun yang memaksa saya membuat keputusan ini. Saya sendiri yang memutuskannya dengan ikhlas (mendasar ke lubuk hati).

Mengapa masih ramai orang bukan Islam mempertikaikan tentang Islam. Mengapa memburuk-burukkan Islam? Mengapa tidak agama-agama lain. Sebenarnya tidak ada paksaan untuk memeluk Islam. Sebenarnya fitrah (kejadian) manusia semuanya dilahirkan sebagai Islam (suci dan bersih). Namun ibu-bapa yang mencorak (menjadikannya) Marjusi, Nasrani, Munafik dan sebagainya.

Bagi manusia yang bijak, dia akan berusaha mencari suatu (agama) yang terbaik untuk dirinya. Jika pada masa yang sama dia mendapat hidayah Allah swt, maka dia tentu akan memilih Islam (suci dan bersih) sebagai agamanya. Ini selari dengan kejadian manusia yang dilahirkan dengan sifat-sifat bersih dan suci (bayi).

NOTA:

1. Dalam al-Qur’an, kata fitrah (kejadian) dengan berbagai bentuknya disebut sebanyak dua puluh kali, empat belas kali diantaranya dalam konteks huraian tentang bumi dan langit, selebihnya disebut dalam konteks pembicaraan tentang manusia, baik berhubungan dengan fitrah penciptaan maupun fitrah beragama yang dimilikinya.

Fitrah keagamaan misalnya, disebutkan dalam surah ar-Rum, yang maksudnya: "Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. " (Ar-Rum. 30: 30).

Dalam surah di atas disebutkan bahawa sejak asal manusia telah diciptakan membawa fitrah (kejadian) beragama yang benar (hanif atau tauhid ), ia tidak boleh dihindar (la tabdila), walaupun ramai manusia mengabaikan atau tidak mengakuinya.

2. Dari sudut bahasa, Islam itu bersih lagi suci.

Bayi yang baru dilahirkan menpunyai sifat-sifat BERSIH LAGI SUCI.

BERSIH LAGI SUCI = ISLAM = BAYI BARU LAHIR. Adakah sesiapa yang mahu menafikan fitrah (kejadian) manusia ini. Kejadian manusia diterang dengan jelas dalam kitab suci al-Quran.

3. Nafsu ertinya menyukai dan menyenangkan (syahiya, syaha-yasha atau syahwatan), sedangkan maknanya adalah kecenderungan jiwa terhadap apa yang dikehendakinya (nuzu’an nafsi ila ma turiduhu). Dalam Al-Qur’an, kata nafsu (syahwat) juga dimaksudkan untuk objek yang diinginkan, potensi keinginan manusia, sebagaimana yang disebutkan oleh ayat berikut:

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).(Ali Imran: 14)

Ayat tersebut menyebut nafsu sebagai potensi keinginan manusia, yakni pada dasarnya manusia menyukai terhadap wanita (seksual), anak-anak (kebanggaan), harta kekayaan atau benda berharga (kebanggaan, kenyamanan, kesenangan), binatang ternak (kesenangan, kemanfaatan) dan sawah ladang (kesenangan, kemanfaatan) jadi kecenderungan manusia terhadap seks, harta benda dan kesenangan dalam pandangan al-Qur’an adalah manusiawi.


[]

Thursday, December 29, 2011

MENGENAL HIDAYAH ALLAH


HIDAYAH itu petunjuk Allah ke arah kebenaran.

Imam Al-Qurtubi membahagikan hidayah kepada dua, iaitu Hidayah tunjuk ajar sebagai proses penerimaan hidayah yang pertama, kerana ia merupakan proses mencari hidayah Allah swt oleh manusia itu sendiri. Proses hidayah yang kedua pula ialah pengurniaan hidayah oleh Allah swt kepada hambaNya yang mencari hidayahNya.

Allah itu maha memberi kurnia (Al-Wahhab), maka pasti Allah akan mengurniakan balasan yang baik kepada hambaNya. Hidayah Allah itu akan diberikan kepada hamba yang berusaha mencari hidayahNya terlebih dahulu. Demikianlah menurut tafsiran sebahagian ulama yang maksudnya: Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya ke jalan Yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya). (Al-Baqarah:213)

Manusia hendaklah sentiasa berdoa dan berusaha untuk mendapatkan sesuatu lebih-lebih lagi hidayah Allah, kerana Allah S.W.T berfirman yang maksudnya: Dan mintalah kepadaku, nescaya aku kabulkan (Gafir:60)

Sebagai seorang muslim sumber hidayah adalah Al-Quran sebagai kitab suci yang diturunkan Allah swt kepada Nabi Muhammad saw untuk disampaikan kepada seluruh umatnya sebagai pedoman dan tuntunan hidup menuju jalan taqwa. Sekiranya kita ingin dekat dengan hidayah Allah, dekat-dekatlah dengan Al-Quran. Selalu baca, fahami maknanya, dan amalkan dalam kehidupan seharian. InsyaAllah kita akan mendapatkan petunjukNya menuju jalan ketaqwaan dan dikurnia hidayah yang merupakan kurnia maha hebat.

Untuk mencari hidayah Allah, semasa membaca Al-Quran kita berusaha memahami maknanya, dan setelah faham maka jangan bertangguh lagi untuk diamalkan. Segerakan.

Misalnya ketika kita sampai kepada ayat yang memerintahkan untuk memakai jilbab (menutup aurat dengan benar seperti yang dicontohkan dalam Al-Quran) justru itulah saat hidayah datang kepada kita, kini terserah kepada keputusan kita sendiri mahu mengamalkan atau tidak. Jika kita ikhlas mengamalkan niscaya Allah swt akan menuntun kita kepada jalan ketakwaan bukan jalan kefasikan. Jangan suka panjang angan-angan dan bertangguh-tangguh untuk berbuat kebaikan, bertangguh-tangguh untuk bertaubat kerana kita tidak pasti berapa lama lagi kita akan hidup di dunia ini.

Begitu juga ketika membaca ayat tentang menjaga pandangan, larangan mendekati zina maka segeralah mengamalkan ayat tersebut. Jangan ditunda lagi. Jangan sampai hidayah berlalu dari hadapan kita. Ketika kita sampai kepada ayat tentang haji, segera berniat dan berusaha mempersiapkan diri untuk menuaikan haji. Memang haji diwajibkan bagi yang mampu, namun yakinlah jika kita berusaha dan berdoa dengan sungguh-sungguh maka Allah akan menolong kita, memberikan jalan yang tak disangka-sangka. Sering kita mendengar seorang penoreh getah, pesawah dan nelayan yang harus menyara keluarga dengan anak yang ramai namun kerana azam dan ikhtiar yang sangat gigih dan atas izin Allah swt dia mampu untuk beribadah ke tanah suci. Jangan cepat merasa tidak mampu. Optimislah. Dengan izin Allah semua hal yang tidak mungkin boleh menjadi mungkin. Bergantunglah kepada Allah, hanya kepada-Nya

Ketika membaca Al-Quran, luruskan niat untuk Allah. Jangan kita membaca untuk menarik perhatian orang lain, untuk mendapatkan pujian dan sebagainya. Niatkan semuanya hanya untuk Allah maka Allah akan mencukupkan keperluan hidup kita di dunia.

Hidayah boleh juga datang dari setiap kejadian yang menimpa kehidupan kita. Ketika ada orang memusuhi kita, menyakiti hati kita, jadikan itu sebagai petunjuk datangnya hidayah dari Allah yang melatih kita untuk bersikap sabar. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar, dan ketika kita dekat dengan Allah, dekat dengan cinta Allah, maka Allah akan sentiasa menolong kita. hasbunallahu wa ni'mal wakil ni'mal maulaa wa'ni'mannashiir..Cukuplah Allah sebagai Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung, Allah adalah pelindung dan penolong yang baik.

Sebenarnya setiap ujian dari Allah swt mempunyai jawapannya dalam Al-Quran. Istikomahlah dalam mencari ilmu dan ilmu yang paling tinggi kedudukannya adalah ilmu dari Allah yang dapat kita kaji dalam Al-Quran dan as-Sunnah, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

Allah menganugerahkan al hikmah (kepahaman yang dalam tentang Al Qur'an dan As Sunnah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa yang dianugerahi al hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah). (Al-Baqarah, 2:269)

Ketika kita mendapatkan hidayah Allah, hikmah dari Allah maka kita akan sampai pada tahap ikhlas dan tunduk terhadap segala ketentuan Allah, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

(22) Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (23) (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri, (Al-Hadid, 57:22-23)


[]

Tuesday, December 27, 2011

RAHSIA RAHMAT DARI ALLAH (TAUBAT)


[Bersama Siti Rubiah & suami ~ sahabat di SMBT]

Allah swt pasti mengampuni orang yang bertaubat dengan sungguh-sungguh ikhlas.

Jika engkau benar-benar ingin mengubah kebiasaan-kebiasaan burukmu, gantilah teman-temanmu. Teman yang baik membawa kamu pada akhlak yang baik, sedangkan teman yang buruk akan membawa kamu pada dosa. Jika seseorang itu mati dalam keadaan lebih dekat kepada orang-orang baik, maka ruh-nya akan naik ke surga. Namun jika ia lebih dekat kepada orang-orang jahat, maka roh-nya harus masuk neraka.

Yang paling penting, mohonlah kepada Allah untuk mengubah dirimu. Jangan menyangka bahawa engkaulah yang memperbaiki dirimu. Taubatmu adalah rahmat dari Allah swt. Demikian pula kemampuanmu untuk meneruskan taubat itu.(1)(2) Dan, jika engkau ingin menjadi orang baik, carilah orang-orang yang baik. Jika engkau ingin mencintai Allah swt, tetaplah bersama orang-orang yang mencintaiNya.

(1) “Barangsiapa menghendaki (kebaikan bagi dirinya), niscaya dia akan mengambil jalan kepada Tuhannya. Dan kamu tidak akan mampu menempuh jalan itu, kecuali bila dikehendaki Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Al-Insaan [76]: 29-30).

(2) “Bagi siapa di antara kamu yang mahu menempuh jalan yang lurus, kamu tidak akan dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Tuhan Semesta Alam.” (At-Takwiir [81]: 28-29).

Friday, December 23, 2011

RINDU KAMPUNG AKHIRAT LA PULAK....

Seribu satu kisah tentang kerinduan. Waktu rasa rindu itu datang, pastinya kita teringat apa yang kita rindukan.

Rindu anak pada orang tuanya? Seorang anak yang rindu pada orang tuanya di kampung akan berusaha untuk pulang dan tentu membawa oleh-oleh yang terbaik untuk orangtuanya. Begitu juga orang tua yang rindukan anaknya di perantauan, akan mempersiapkan apa saja kesukaan anaknya untuk menyambut kepulangannya ketika kabar berita anaknya akan pulang itu didengarnya.

Sketsa rindu begini adalah kisah klasik rindu anak terhadap orangtuanya dan rindu orangtua terhadap anaknya. Begitu juga dengan kisah rindu antara sahabat sepermainan yang lama tidak bertemu, sahabat sepersekolahan, cinta monyet zaman anak-anak, dan rindu-rindu yang lainnya Semuanya terangkum dalam RINDU KAMPUNG HALAMAN. Dalam segala keadaan mereka selalu ingatkan orang yang dirindunya, ketika sedang makan, minum, berjalan, duduk bahkan ketika sedang tidur pun teringat insan yang pernah mewarnai hidupnya hingga terbawa-bawa ke alam mimpi.

Bagi orang beriman kerinduan yang harus ada adalah kerinduan terhadap kampung iman (tempat iman kita mula tumbuh dan membesar) dan kampung akhirat (tempat kita akan hidup selama-lamanya disana kelak).

Rindu kampung akhirat ertinya kita senantiasa teringat kepada pemilikNya yaitu Allahu SWT, pencipta jagat raya kehidupan dunia dan akhirat. Rindu itu tercermin dari perlakuan ketika di dunia ini untuk senantiasa ingat kepada-Nya.

Contoh kisah kerinduan akan kampung akhirat ialah kisah pengembala pada zaman Khalifah Umar al-Khattab ra. Waktu itu Abdullah bin Dinar dan Umar Bin Khattab ra. dalam perjalanan menuju Makkah, di tengah perjalanan mereka beristirahat, tiba-tiba muncul seorang pengembala menuruni lereng gunung dan melewati mereka berdua. Umar lalu bertanya pengembala itu: ”Hai Pengembala, juallah seekor kambingmu kepada saya”. Jawab pengembala itu,”Tidak, saya ini seorang budak gembala”. ”Katakan saja kepada tuanmu bahwa dombanya diterkam serigala”, Umar menguji. Dengan tegas pengembala itu berkata: ”Kalau begitu, di mana Allah SWT?”.

Umar bin Khattab ra. menangis bila mendengar jawaban pengembala itu. Kemudian Umar pergi bersama pengembala tersebut menemui tuannya, untuk dimerdekakan. Seterusnya Umar pun berkata: "Kamu telah dimerdekakan di dunia ini oleh ucapanmu dan semoga ucapan itu boleh memerdekakanmu di akhirat kelak".

Kisah seterusnya tentang ibu dan puterinya penjual susu pada zaman Khalifah Umar bin khattab ra. Masa ibunya ingin mencampur susu yang akan dijualnya dengan air, supaya boleh dapat untung yang lebih banyak, puterinya mengingatkan: "Bagaimana jika Amirul Mukminin Umar bin Khattab ra. mengetahui?". Si ibu tidak menghiraukan nasihat anaknya dan terus melaksanakan keinginannya itu. Dan puterinya pun kembali menasihati: "Kalaupun Amirul Mukminin tidak melihat kita tetapi Rabb Amirul Mukminin melihat kita".

Begitulah yang dilakukan oleh orang yang rindu akan akhirat, mereka sentiasa ingat kepada Allah SWT. Selalu berusaha menjauhi perbuatan-perbuatan dosa baik dalam keramaian ataupun dalam kesendiriannya. Kita mengenal atau merasakan pengawasan Allah SWT, yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat dan yang tidak pernah mengantuk dan juga tidur.

Sebenarnya sifat taqwa adalah jalan untuk meraih kebahagian di kampung akhirat, yang bernama syurga itu. Semoga kita kelak ada diantara hamba yang berada didalamnya.

”Perumpamaan syurga (seperti taman) yang dijanjikan kepada orang-orang yang taqwa ialah mengalir sungai-sungai di dalamnya; pohon-pohon dengan buahnya tak henti-henti, sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka.” (Qs. Ar Ra’d:35)

Ingin tahu tentang taqwa?

Taqwa itu pangkalnya di hati yang selalu ingat kepada Allah swt. Inti dari ketaqwaan adalah selalu ingat Allah swt yakni:

Suatu kesedaran yang mendalam pada diri kita bahwa Allah swt sentiasa hadir dalam kehidupan kita.

1. Suatu kesedaran mengenai keMaha Hadiran Allah swt dalam segala ruang dan waktu.

2. Suatu kesedaran bahwa Allah swt sentiasa bersama kita.

Allah swt telah berfirman yang maksudnya: ''Dan Dia bersamamu di mana pun kamu berada. Dan Allah Maha Mengetahui tentang segala sesuatu yang engkau kerjakan.'' (Al Hadid : 4)

Demikianlah wajah takwa itu..