...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Wednesday, December 21, 2011

RAHSIA KEKUATAN KAMPUNG IMAN

[Gambar pertabalan Tok Ngah saya sebagai Undang Jelebu]

Tanyalah diri kita di manakah keupayaan Islam dalam memacu kejayaan dan kecemerlangan umatnya? Sebenarnya yang kita cari berada terlalu dekat dengan kita. Setiap minggu kita mendengarkan kekuatan itu dilaungkan oleh khatib dari mimbar masjid kampong kita pada setiap hari Jumaat. Rahsia kekuatan itu adalah taqwa. Kita perlu kembali kepada taqwa ~ memahami, menghayati, mengamalkan dan memperjuangkannya. Tidak ada kekuatan lain selain taqwa yang mampu membawa kita keluar daripada belenggu kehinaan ini.

Sebenarnya imam, bilal dan guru mengaji al-Quran sangat membantu dalam upaya meningkatkan keimanan dan ketaqwaan masyarakat, membina mental spiritual (keperluan batin) kepada anak-anak sejak usia bayi, dan menghapus buta huruf Al-Quran di kampong saya.

Sumbangan imam, bilal dan guru mengaji dalam pembangunan iman dan taqwa adalah harapan dan cita-cita masyarakat Melayu iaitu “Kampung Sejahtera Berlandaskan Iman dan Taqwa dalam pembangunan bidang keagamaan”.

Mengikut cerita abah, masa Tok Ngah menjadi Undang Luak Jelebu, dia sangat memperhatikan masalah hubungan antara sesama umat beragama, khususnya Islam di Daerah Jelebu.

Masa zaman kanak-kanak, masih basah diingatan bila abah saya mengatakan, hujung tombak pembangunan keimanan dan ketaqwaan masyarakat terletak pada para guru mengaji yang ada di kampung.

Sebenarnya guru mengaji al-Quran memiliki peranan penting dalam upaya memperkuat keimanan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh oleh ajaka-ajakan radikal maupun ajaran sesat yang kini banyak berkembang di seluruh Negara Malaysia.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Indahnya kenangan masa mengaji dahulu: Guru mengaji saya ialah Ulung Talib, orang kampung saya. Dari kakak saya yang sulung hingga saya anak ke empat dalam keluarga, Ulung Talib yang ajar mengaji.. sebab itulah dia sayang sangat dengan kami adik-beradik. Tapi kini beliau dah jadi arwah.

Dia selalu puji sebab saya adik-beradik rajin mengaji, itulah sebabnya teringat sangat dengan arwah. Bila menjelang senja saja saya dan kakak saya mesti pergi mengaji. Masa mula-mula belajar mengaji saya belum mengenal huruf, memang hafal adalah teknik bacaannya. Sebab itulah sampai sekarang saya boleh hafal ayat-ayat lazim. Iyalah masa itu tiap-tiap hari bila sampai sahaja di rumah Ulung Talib saya akan baca dari surah awal ke surah yang dia sudah alih tu. Memang bacaan tu basah di ingatan.

Meriahnya suasana tempat mengaji. Guru mengaji walau garang orangnya masa mengajar mengaji, tapi baik hati dan amat lemah lembut. Semua ini jadi kenangan yang indah.

Saya belajar solat juga mula dari kecil lagi. Di ruangan tengah rumah kami emak saya selalu solat. Walau masa itu keluarga belum ajar solat, tapi sebab selalu tengok emak solat di situ, maka saya sendiri ikut solat walau tak tahu bacaan. Cara didikan keluarga memang banyak mengajar saya. Keinginan untuk solat itu datang sendiri bila tengok emak solat setiap hari.

Sekarang ini guru mengaji saya sudah tiada. Tidak kedengaran lagu suara budak-budak mengaji. Kini kampung saya hening dan sepi dari keriuhan alunan suara kanak-kanak mengaji dan berzanji. Terasa macam banyak sangat perkara yang sudah berubah. Ajaran dan kasih sayang tuan guru dan keluarga amat saya hargai. Terima kasih banyak-banyak ya Allah ya Tuhanku..


[]

No comments: