Kampung Seperi Ulu, Kuala Klawang, Negeri Sembilan, adalah sebuah kampung tradisional pendalaman di Mukim Ulu Teriang, ke arah utara Pekan Kuala Klawang. Kampung yang landskapnya berlatar belakangkan bukit-bukau, hutan dara, flora dan fauna ini, akrab dengan persekitaran alam semula jadi. Panorama indah memukau, tak jemu mata memandang...
Sesekali, terutamanya waktu malam dan awal pagi kita masih boleh mendengar sayup-sayup bunyi manjangan dan senandung unggas di rimba. Alangkah seronoknya jika dapat pulang ke kampung merehatkan minda. Waktu senja jelas terdengar bunyi suara cengkerik, manakala malam pula rancak suara burung tukang. Terjaga dari lena di waktu subuh akan terdengarlah bunyi ayam jantan berkokok. Awal pagi pula burung murai akan berkicau merdu, bertingkah dengan tupai-tupai mengekek kerana pohon-pohon di dusun lebat berbuah. Nun di kejauhan suara ungka pula mendayu-dayu membawa irama tulus syahdu.
Apa lagi, bangunlah segarkan diri menyentuh butir-butir embun dingin dihujung daun. Atau pergi mandi di anak sungai yang airnya mengalir jernih, nampak di celah-celah batu anak ikan seluang dan ikan putih berenang sangat indah memukau. Atau lepak sahaja bersama jiran sekampung bercerita tentang kisah silam. Memang tiada gangguan bebanan arahan kerja di pejabat, minda bebas melakukan apa-apa sahaja!
Perjalanan dengan kenderaan dari Kuala Lumpur ke kampung ini boleh menggunakan lebuhraya Kuala Lumpur - Senawang, atau lebuhraya LEKAS di selatan dan Jalan antara negeri (Selangor-Negeri Sembilan) melalui Genting Peras di utara.Sekali imbas, kampung ini majoritinya keturunan Melayu pelbagai Suku Adat Negeri Sembilan dan mula longgar mengamalkan Adat Perpatih. Kebanyakkan penduduk kampung ini adalah golongan warga emas, maknanya kampung ini menghadapi masa kepupusan penduduk kerana generasi muda aktif merantau dan akhirnya terus meninggalkan kampung. Senario ini dapat dilihat dengan bertambahnya bilangan rumah-rumah kosong yang tidak berpenghuni. Sebenarnya bukan ini nak saya perkatakan.
Sebenarnya iman seorang insan itu tumbuh serentak dengan tarikh kelahirannya di alam dunia. Seterusnya ia berkembang seiring membesarnya seorang bayi menelusuri zaman kanak-kanak yang indah mengasyikkan. Mengenal huruf-huruf alif, baa, taa hingga ya dan belajar mengaji hingga kenal dan lancar ayat-ayat lazim. Basah di ingatan pagi hening yang penuh syahdu..... sepasang mata yang terpejam menambah lagi kebahagiaan jiwa saya... Mari sama-sama kita hayati untaian kata yang saya susun indah untuk Kampung Iman ini:
Bertahun rasa hati ini kupendam
dalam kembara hidup musafir
rindu kampung halaman ayah bonda
rindu pada daun-daun dan pohon-pohonan
rindu gelak ketawa sanak saudara dan sahabat handai
rindu dendam menggunung harap
indahnya bumi bertuah kampungku.
Rindu ini
mekar berbunga dalam taman kalbu
sukar dilukis sukar ditulis
sepanjang ku bermastautin di bandaraya
betapa rindu ini seringkali memujuk pulang
ziarah sanak-saudara dan jiran-tetangga seagama
walau aku terdampar jauh dari desa
namun kampung kelahiran tempat mula kenal dunia
tetap dikenang dan terbayang-bayang
selagi hayat kandung badan.
Rindu ini kukirim lewat angin lalu
menelusuri Pantai mendaki Bukit Tangga menuruni Ulu Klawang, atau
singgah di puncak Genting Peras ke denai-denai hutan Kenaboi
semuanya indah dalam ingatan
sewaktu di sana jiwaku bahagia
iman tumbuh dan berkembang mekar di bawah naungan Tuhan Maha Esa!
[maa ~ Bangsar, Bandaraya Kuala Lumpur @ 16/12/2011]
No comments:
Post a Comment