...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Monday, January 23, 2012

Selamat Hari Lahir Sahabatku Azizah

[Bersama sahabat SMBT ~ kenangan indah kami REUNION 1 yang tetap diingatan]


Ketika mereka memilih SMUJ
kita berikrar memilih SMBT
lalu telah Tuhan rendahkan purnama dan matahari
untuk kita memahami silau dan cahaya kehidupan ini

SMBT rasa tak lengkap tanpa hadirmu
syukur kehadrat Allah yang mendatangkan sahabatku
kufikir ia tanda kasihNya menceria taman ilmu
susah ditafsir tapi itulah yang berlaku

Kuakui kau amat sederhana sahabatku
aku pertama kau beritahu, kau bakal jadi guru
kita berpisah bila aku memilih pra-u
kadangkala aku terharu mengenang bicaramu

Terasa terjaga dari kenangan sekolah lalu
hari ini hari lahirmu
di hening subuh aku berdoa
agar Allah melimpahkan kasihNya tak kunjung putus
buatmu sahabatku yang berhati tulus

Rakan tionghua menyambut tahun baru
tapi aku hanya mengingati ini tarikh lahirmu
dengan iringan doa
aku sujud pada Tuhan
yang menganugerahkan dikau wahai sahabatku

Selamat Hari Lahir
Semoga Allah swt mengasihimu



~~~~ooooOOOoooo~~~~


jalan-jalan di bandar Seremban
singgah sebentar pekan Sikamat
hanya ini dapat ku ucapkan
Selamat Ulangtahun untukmu sahabat...


[]

Saturday, January 21, 2012

ERTI SILATURRAHIM

[Bersama sahabat dari Jerman Barat dan Turki ~ kenangan indah kami bertiga sukar dilupakan]


Aku berkisah tentang erti silaturrahim
dalam sinar kehidupan
dirimu menoleh pandang di hadapan mataku
dan menunggu lunak ucapku
menghampar salam untukmu.

Lihatlah pada sekumpulan merpati liar di hadapan kita
unggas cantik hinggap silih-berganti dalam dataran lautan manusia
berjalan dan berlegar dalam kumpulan ceria dan mesra
maka aku petik seuntai kisah
di hadapanmu nafas aku hembuskan

Silaturrahim adalah pelajaran dari merpati liar
berpandangan lalu berputar-putar mesra
mematuk bijirin lalu terbang lagi
ikatan berkumpulan tetap meruntun abadi

Aku hanya mencatat lembaran kenangan
merenung pada kisah di Masjidilharam
mencapai maksud tersirat dari tersurat
betapa tiga susok kita bertaut hati
erat mengenggam sunnah Nabi.





~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

APAKAH silaturrahim itu?
Silah ertinya menyambungkan, manakala Rahim ertinya kekerabatan. Maka SILATURAHIM itu 'menyambungkan kekerabatan ukhuwah antara kita semua'

Mewujudkan silaturrahim itu adalah satu tuntutan dan menjadi kewajipan kepada umat Islam melaksanakannya selari dengan amalan-amalan lain. Kalau silaturrahim itu belum wujud, hendaklah kita wujudkan, kalau ada apa-apa masalah atau kesulitan hendaklah kita selesaikan. Kalau sudah terputus hendaklah kita pulihkan, dan jika sudah baik keadaannya hendaklah kita suburkan.



[]
[

Tuesday, January 17, 2012

RAHSIA SIDRATUL MUNTAHA (1)

Sidratul Muntaha Lambang darjat spiritual manusia

Rasulullah saw mewariskan kepada kita petunjuk yang khas dari perjalanan beliau memenuhi panggilan Allah swt. Satu di antaranya ialah 'Sidratul Muntaha’

Sidratul-muntaha makna harfiahnya: puncak pohon bidara yang merupakan simbol sebuah kehidupan dalam diri manusia, yang bersifat spiritual. Ia disebut sebagai tempat, kedudukan atau maqam rohaniyah. Puncaknya sangat tinggi, sehingga bukan setiap individu boleh selamat sampai ke sana.

Ia juga merupakan batas di mana seseorang sudah tidak mampu lagi berkembang. Berhubung hal ini Syaikhul ‘Arif-bibillah Muhammad bin ‘Abdul Jabbar An-Nifari menyebutnya sebagai maqam ‘waqfah’ atau titik henti perjalanan hamba Allah swt, yaitu ketika seseorang telah berada di antara dua Tangan Tuhan. Al-Qur’an menukilnya melalui perumpamaan eratnya Nabi s.a.w. dengan Khaliknya, "bagai dua lengkung busur yang saling bertangkap-tangkapan, atau lebih rapat lagi" (An-Najm: 9-10)

Kerana Sidratul-muntaha bersifat spiritual, maka akal kita tidak mampu memahaminya tanpa melalui proses (peristiwa Isra’ dan Mi’raj) yang mengantar Rasulullah saw ke sana.

Sunday, January 15, 2012

Selamat Hari Lahir Adindaku Faiz Zain


Semoga dikurniakan iman yang sempurna
akhlak yang terpuji
pekerti yang mulia
umur yang bermanfaat
rezeki yang halal
ilmu yang berguna
jodoh yang membahagiakan
hidup yang dirahmati di dunia dan akhirat.

Ucapan Selamat Ulangtahun Kelahiran ini saya coretkan khas buat adinda Faiz yang masih dilanjutkan usia olehNya untuk meneruskan perjuangan di bumi Allah swt ini agar lebih taat kepadaNya sebagai tanda syukur. Dan terima kasih ke hadrat Allah swt kerana memberi ruang dan peluang kepadamu agar meneruskan kehidupan untuk mengenalinya dan lebih dekat denganNya.

Faiz...
Sungguh masa depan itu memang ada kerana kita sama-sama telah selamat melalui tahun 2011. Kini kita di tahun 2012, maka bertambah setahun lagi masa mendewasakan umurmu. Abang Din ucapkan Selamat hari Lahir untuk Faiz....

Kadang-kadang kita tidak pernah merasa, ketika '2011' beransur-ansur meninggalkan kita, dan meninggalkan banyak kenang-kenangan. Kenangan indah (tentang kejayaan dan kegembiraan kita) serta kenangan kurang indah (tentang segala kekurangan kita). Yang kita sama-sama tahu '2011' tak akan kembali lagi, dan hanya orang yang mengambil iktibar akan menemui makna atas hadirnya tahun lalu. Ya Allah, semoga Faiz adindaku ini menjadi insan yang mampu merealisasikan tiap-tiap saat umurnya adalah nafas-nafas perjuangan agama-Mu. Barakahilah dia...

Selamat bermusahabah dengan bertambahnya umurmu, semoga hidupmu semakin matang, tambah dewasa, sentiasa ceria, dan bahagia berkekalan selamanya.... insyaAllah.



[]

Tuesday, January 10, 2012

SELAMAT HARI LAHIR BABY AYAH...


09 Januari 2012, usia Nur Ramadhan tiba pada angka 15 tahun. Apa rencananya? Hari dilalui seperti biasa. Ya seperti biasa. Seperti hari-hari lain, doa sentiasa dipanjatkan ke hadrat Allah swt agar anakanda kami ini akan menjadi anak yang solehah. Diberi kefahaman agama dengan sebenarnya, dan sentiasa ditunjukkkan jalan yang benar. Selamanya. Doa yang juga dibaca setiapkali mencium dan mengucup ubun-ubunnya setiap selesai solat berjamaah.

Namun balik dari kerja saya beli “Yong Tau Foo”. Sebelum maghrib kami menikmatinya sebagai meraikan hari kelahiran anakanda. Lepas solat maghrib anakanda perlu dihantar ke kelas tusyen. Sebelum tidur anakanda perlu menyelesaikan tugasan rumah yang diberi guru di sekolah siang tadi…. (Ulangtahun kelahiran anakanda telah dimulai dengan aktiviti yang padat…)

Pada hari lahirmu ini, ayahanda teringat pada peristiwa-peristiwa sekitar kelahiranmu di Hospital Bersalin Kuala Lumpur. Pantas masa berlalu, sudah besar baby ayah tu!

Di hari lahirmu ini ayah berdoa agar anakanda akan terus menjadi anak yang soleh, dunia hingga akhirat. Pada masa manusia melihat pendidikan sekular sebagai sesuatu yang sangat diperlukan bagi "mencari peluang hidup cerah masa depan," aspek spiritual perlu diberi perhatian juga. Agama.

Ya Allah, berkatilah dan bahagiakanlah kehidupan Anakanda. Sesungguhnya kami mendidik anakanda semampunya, dan kami mendoakan yang terbaik daripada-Mu untuknya..Ameen.

[]

PENGURUSAN MASA UNTUK REMAJA (PELAJAR)

Definisi
Pengurusan masa bermaksud anda mampu (secara berkesan) melakukan aktiviti harian dan merasa puas hati dengan apa yang telah anda lakukan. Ia merupakan ciri penting untuk gaya hidup yang sihat yang melibatkan penggunaan peralatan dan kaedah (teknik) untuk merancang dan menjadualkan masa dengan sesuai dan tepat. Peralatan dan teknik tersebut bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan penggunaan masa anda dengan bijak dan bertanggungjawab.

Kepentingan
Apabila anda gagal untuk menguruskan masa dengan bijak, anda mungkin akan membazir banyak masa yang berfaedah, menjadi tidak produktif, mendapat stress, menjadi cemas dan bimbang serta bertambah gusar dan mudah marah.Dan yang paling utama, anda gagal menyiapkan apa-apa tugasan pada masa yang ditetapkan

Panduan pengurusan masa bagi remaja:

1. Buat jadual harian. Catatkan:

- Pukul berapa biasanya anda bangun tidur?

- Berapa lama anda bersiap untuk ke sekolah?

- Pukul berapa anda pergi ke sekolah?

-Pukul berapa anda pulang ke rumah dari sekolah?

- Berapa lama masa diambil untuk menyiapkan kerja sekolah dan kerja rumah?

Daripada jadual di atas, anda boleh menentukan berapa banyak masa lapang yang anda ada dan menyusun jadual masa supaya semua aktiviti dapat disempurnakan pada hari yang sama.

2. Buat senarai mengenai perkara yang ingin anda lakukan.
Apabila anda hanya duduk menonton TV beberapa jam atau tidak melakukan apa-apa dan menjadi bosan, gunakan senarai yang ada untuk mengubah masa lapang anda dengan melakukan aktiviti yang lebih produktif.

3. Tetapkan matlamat tentang apa yang ingin anda capai.
Matlamat anda sasarkan mestilah khusus. Sebagai contoh: 'Saya ingin memperoleh wang' bukanlah satu matlamat; sebaliknya 'Saya ingin mendapatkan RM50.00 untuk membeli sepasang kasut'; merupakan satu matlamat. Hanya matlamat yang khusus mudah dicapai dan dilaksanakan.

4. Bahagi-bahagikan aktiviti harian anda mengikut kategori.
Tetapkan keutamaan apabila anda membahagikan aktiviti mengikut kategori. Contohnya: 'Menyiapkan kerja sekolah adalah keutamaan, Melakukan senaman adalah keutamaan, Bersiar-siar di pusat membeli belah bukan keutamaan'. Tetapkan aktiviti anda berdasarkan keutamaan.

5. Tetapkan had masa.
Jika anda perlu menyiapkan kerja rumah, tetapkan had masa.Pastikan anda menyiapkan kerja tersebut dalam had masa yang ditetapkan.

6. Gunakan diari.
Diari atau jadual waktu dapat membantu anda melakukan tugasan dan mencapai matlamat yang ditetapkan. Ia juga turut membantu anda untuk merancang aktiviti harian berdasarkan apa yang mesti dibereskan. Secara langsung, ia membantu anda untuk menggunakan masa yang terluang untuk menyiapkan tugasan atau aktiviti yang ingin dilakukan.

7. Kekalkan rutin harian anda sebaik mungkin.
Mengetahui apa yang perlu dibuat dan bila ia perlu diselesaikan membolehkan anda mencapai apa yang telah disasarkan dengan lebih baik.

8. Simpan tugasan atau kerja sekolah di satu tempat.
Anda hanya akan membazir masa jika perlu menyusun semula tugasan yang ingin dibereskan. Pembaziran ini dapat dikurangkan jika anda boleh menyimpan semua tugasan di satu tempat agar ia boleh dibereskan dengan cepat dan mengurangkan stres.

9. Jangan melengah-lengahkan kerja anda.
Berlengah itu pencuri masa. Anda hanya membazir masa jika melengah-lengahkan kerja.

10. Siapkan tugasan dengan betul semasa kali pertama ia dilakukan.
Anda hanya membuang masa bila tugasan tersebut perlu dibuat semula.

Hasil pengurusan masa jadikan anda: Lebih terurus, Produktif, Kurang tertekan, Gembira, serta mempunyai banyak masa untuk melakukan aktiviti yang lebih bermakna

[]