...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Showing posts with label catatan keluarga. Show all posts
Showing posts with label catatan keluarga. Show all posts

Tuesday, January 10, 2012

SELAMAT HARI LAHIR BABY AYAH...


09 Januari 2012, usia Nur Ramadhan tiba pada angka 15 tahun. Apa rencananya? Hari dilalui seperti biasa. Ya seperti biasa. Seperti hari-hari lain, doa sentiasa dipanjatkan ke hadrat Allah swt agar anakanda kami ini akan menjadi anak yang solehah. Diberi kefahaman agama dengan sebenarnya, dan sentiasa ditunjukkkan jalan yang benar. Selamanya. Doa yang juga dibaca setiapkali mencium dan mengucup ubun-ubunnya setiap selesai solat berjamaah.

Namun balik dari kerja saya beli “Yong Tau Foo”. Sebelum maghrib kami menikmatinya sebagai meraikan hari kelahiran anakanda. Lepas solat maghrib anakanda perlu dihantar ke kelas tusyen. Sebelum tidur anakanda perlu menyelesaikan tugasan rumah yang diberi guru di sekolah siang tadi…. (Ulangtahun kelahiran anakanda telah dimulai dengan aktiviti yang padat…)

Pada hari lahirmu ini, ayahanda teringat pada peristiwa-peristiwa sekitar kelahiranmu di Hospital Bersalin Kuala Lumpur. Pantas masa berlalu, sudah besar baby ayah tu!

Di hari lahirmu ini ayah berdoa agar anakanda akan terus menjadi anak yang soleh, dunia hingga akhirat. Pada masa manusia melihat pendidikan sekular sebagai sesuatu yang sangat diperlukan bagi "mencari peluang hidup cerah masa depan," aspek spiritual perlu diberi perhatian juga. Agama.

Ya Allah, berkatilah dan bahagiakanlah kehidupan Anakanda. Sesungguhnya kami mendidik anakanda semampunya, dan kami mendoakan yang terbaik daripada-Mu untuknya..Ameen.

[]

Wednesday, October 21, 2009

Walimatulurus 2 Catatan 3

Hari Ahad tengahari; 11/10/2009 Saya sekeluarga dan kerabat terdekat Abang Ngah dan Kak Maznah bertandang pula ke Derah Seremban, Jajahan Undang Luak Sungai Ujung atas urusan menghantar anak dan menantu kesayangan ke rumah besan kami di Bandar Warisan Puteri, Jalan Sikamat, Seremban.

Kali ini giliran kami rombongan dari Kuala Klawang Jelebu Negeri Sembilan membalas kunjungan orang Seremban yang menjadi tetamu kami hari Sabtu, semalamnya.

Kunjungan rombongan kami ini membawa hasrat mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan dua keluarga yang telah diikat dan disatukan melalui perkahwinan...

KINI ANAKANDA MAZNIZA DAH JADI MILIK ORANG! Saya rasa macam bermimpi pula... Abang Ngah dan Kah Maznah tentu lebih-lebih lagi… hehehe

Bahagia sangat rasanya kami rombongan dari Kuala Klawang Jelebu disambut dengan layanan penuh kemesraan.

Wednesday, October 14, 2009

Walimatulurus 2 Catatan 2

Jumaat Malam Sabtu 09/10/2009 anakanda Mazniza Othman telah selamat diijabkabul dengan anakanda menantu Hamdan Amir. Dia anak sulung Abang Ngah, tapi saya rasakan seperti anak sendiri sebab zaman kanak-kanaknya Mazniza berulit dengan saya saja pada setiap hujung minggu kerana Abang Ngah senantiasa balik rumah bapa mentuanya di Selayang, Selangor kerana komitment Kak Maznah di sana. Begitu juga dengan masa cuti sekolah saya.. tiada aktiviti lain selain mengendong Mazniza ke mana-mana sahaja dengan basikal atau motor. Banyak pahit-manis saya berkongsi dengannya. Alahai Mazniza, apa saja yang dikunyah dalam mulut Ayah Cik (Acik) semua Mazniza nak juga.... macam tu la sayangnya pada anak buah seorang ni... maklumlah cucu pertama Mak!
Hari Sabtu 10/10/2009 majlis bersanding di Kampung Kuala Klawang, rumah Abang Ngah. Bertemakan warna biru dewangga, begitulah gambaran hati dan perasaan kami dan kerabat terdekat. Memang seronok sungguh perasaan hati bila mendapat menantu. Menantu pertama pula tu dari sebelah pihak saya.

Susah untuk saya dan isteri merakamkan perasaan hati kami ini... Abang Ngah dan Kak Maznah tentu lebih hebat lagi. Memang benar kata orang tua-tua dulu, sedap mata memandang, sedap lagi perasaan hati orang yang pernah mengalaminya. Kini baru saya faham dan tahu erti kegembiraan itu....

Pada Abang Ngah terima kasihlah kerana saya dan isteri dapat sama-sama berkongsi anakandamu dan kegembiraan ini. Nur Ramadhan juga dapat merasakan kegembiraan akan kehadiran seorang abang ipar juga.

Monday, October 12, 2009

Walimatulurus 2 Catatan 1

Jumaat minggu lepas (9/10/2009) ambil cuti sebab nak balik kampung. Paginya ke Sekolah AU Keramat Kuala Lumpur sebab uruskan permohonan anakanda untuk ke sekolah berasrama penuh. Kemudinnya uruskan bayaran bil-bil tertunggak sebab tertangguh kerana sambutan Aidilfitri. Selesai dua urusan hari dah menjelang jam 12.55 tengah hari, maka bergegas-gegas pula balik rumah untuk mandi dan ke masjid AU3 menunaikan solat Jumaat.

Sementara menunggu isteri tersayang pulang dari Sekolah Menengah Setiawangsa saya dan anakanda kesayangan berkemas apa yang patut untuk segera balik kampung sebab hari Jumaat Malam Sabtu akan berlangsung majlis Akad Nikah anakanda saudara Masniza dengan pasangannya Hamdan.. Berlangsung di Masjid Kuala Dulang.

Jam 5.00 petang isteri tersayang tiba di rumah, maka kami pun mula bertolak dari Kuala Lumpur menuju Jelebu Negeri Sembilan. Keluar sahaja ke lebuh MRR2 laluan telah mulai sesak, sabar sahaja la. Menyusur ke Jalan Ampang demikian juga, bersabar sahaja lebih baik. Mujur kesesakan hanya sampai di persimpangan Taman Kosas sahaja. Selepas itu kami sekeluarga memandu dengan cermat dan hati-hati walau jalan agak lancar kerana hujan gerimis menjadikan jalan basah dan licin. Biarlah lambat asal selamat tiba di Jelebu nanti.

Jam 7.00 malam selamat tiba di Jelebu, terus mandi untuk menunaikan solat Maghrib. Selesai solat kami minum minuman panas dan sedikit kueh raya buat alas perut yang kosong dan bersiap-siap ke Masjid Kuala Dulang untuk acara akad nikah anakanda Masniza. Alhamdulillah, majlis berjalan dengan selamat, seterusnya solat Isya' dan bertolak ke rumah Abang Ngah untuk majlis doa selamat. Acara akhir malam itu ialah jamuan makan malam. Alhamdulillah semuanya berlangsung seperti dirancang.

Jam 1.15 saya sekeluarga pulang ke kampung durian gasing untuk tidur dan menghilangkan lelah sebab esoknya Majlis Perkahwinan anakanda Mazniza dan anakanda Hamdan akan dilaksanakan di rumah Abang Ngah.

Tuesday, March 10, 2009

Jiwa rasa sangat ria

Semalam cuti Maulidur Rasul, jiwa rasa sangat ria.
Mengapa tidak, sejak awal pagi menatap wajah mak tersayang. Sejak awal pagi dengar suara mak tersayang. Mak buah hati saya, sebulan saya tak dapat tatap wajah mak dan dengar suara mak.. Dik No sekolah hari Sabtu, cuti ganti la... klas lonjakan UPSR la... macam tu la bila jadi seorang ayah...

Hari sabtu 7/3/2009 isteri juga kerja. Bertugas mesyuarat PIBG sekolahnya. Sekolah Taman Setiawangsa Kuala Lumpur.

Memang tanggungjawab saya banyak. Untuk anak tersayang, untuk isteri tersayang dan untuk mak tersayang juga....

Tapi hari Ahad 9/3/2009 saya bawa anak dan isteri balik kampung.. ambil kesempatan bermesra dengan mak. Gembiranya mak bila cucu dan anak menantu balik salam dan cium tangan mak. Anaknya juga salam, lalu cium tangan dan pipi mak.... inilah syurga dunia. menikmati limpahan kasih sayang dari mak... dari Allah SWT juga...

Friday, June 27, 2008

Walimatulurus Catatan 3


Hujung minggu ini saya sekeluarga balik kampung lagi. Menguruskan majlis menyambut pulang anakanda Khairiyanti dan Mohd Nazry di Jelebu. Majlis diadakan hari Sabtu terakhir bulan Jun ini; pada 28/06/2008. Memenuhi hajat mak meraikan cucu kesayangannya bersekali dengan majlis doa selamat.

Seronok tengok kerabat terdekat kami berkumpul, semuanya tekun saling membantu menjayakan majlis ini. Jarang-jarang kami dapat berkumpul seceria ini!



Acara perarakan pengantin diiringi kumpulan kompang Kampung Seperi, Jelebu. Kata orang kalau nak dengar dan tengok bunyi kompang yang benar-benar asli inilah dia. 100% kompang tanpa ada element alat muzik lain. Bunyi kompang ditepuk saling bertingkah dan sangat harmoni. Sedap telinga mendengarnya, jiwa yang lesu segar rasanya...



Inilah muzik warisan para Ulamak kami, kelebihan tanah bertuah daerah Jelebu. Lahirnya benar-benar menurut adat, terpelihara dari celaan Agama Islam pakaian kami. Kelainannya, keasliannya, khazanah seninya tidak melampau dan tidak keterlaluan. Tidak disula pengaruh luar. Semestinya hak orang Jelebu tu luar biasa!


Dikatakan orang tentang kelebihan hak kami ini, alim ulamak Jelebu pernah menyebutkan suatu masa dahulu:

Jelebak Jelebu
Tuaikan padi tigo tangkai;
Kalbu terkena kemat Jelebu
Nyawa tak mati, badan merasai...

Sirih pinang selera pinang
tangan kanan jari manis
Yang duduk pandang berdiri pun pandang
Si Jelebu ni juga dipandang manis!



Ya Allah Ya Tuhan Kami,

Satukanlah hati kedua mempelai ini seperti Engkau satukan hati Adam dan Hawa, Yusuf dan Zulaikha, dan seperti Engkau satukan hati Muhammad SAW dan Siti Khadijah...


Berkati pernikahan kedua-duanya dengan perasaan persefahaman, bersatu hati dan kurniakanlah kepada anakanda berdua ini sebaik-baik perkongsian hidup dan kasih mesra selama-lamanya serta kebaikan dan keberkatan di dunia dan akhirat.



Amin Ya Rabbal 'Alamin.


Majlis kami ini berlangsung dengan sangat sempurna. Syukur Alhamdulillah!

Tuesday, June 24, 2008

Kalau memang rezeki atas izinNya....


Hari Sabtu 21/06/2006 jam 6.03 petang terima telefon daripada Abang Ngah (Angah), bertanya pukul berapa nak datang rumahnya.

Ya Allah. Saya betul-betul terlupa. Malam ini rumah Angah nak adakan majlis doa selamat dan kesyukuran.


Saya beritahu Angah, kami sekeluarga masih di Kuala Lumpur bersiap-siap nak pergi Muar. Mujurlah Angah call. Kalau tidak, tak tahulah nak cakap apa... kasihan juga pada angah dan keluarganya.

Saya berjanji kami sekeluarga akan hadir. Ada rezeki la ni.


Saya terus beritahu isteri dan anak bersiap untuk balik Jelebu. Bertolak senja itu juga dan dijangka sampai rumah Angah sekitar jam 8.00 malam.

Kata Angah majlis akan bermula selepas solat Isya. Masih ada masa dan tak perlu tergesa-gesa sangat.


Kami pun packing semua keperluan untuk balik kampung dan ke Muar nanti. Isteriku pastikan semuanya seperti yang diperlukan.

Dari Kuala Lumpur perjalanan lancar melalui jalan Genting Peras. Tiba di rumah Angah tepat jam 8.15 malam. Tetamu sudah ramai yang hadir.


Majlis malam ini berjalan lancar sebagaimana yang dirancang. Seronok sangat rasanya dapat berkumpul bersama sanak-keluarga jauh dan dekat. Tak terasa masa pantas beredar.



Jam 12.15 malam saya dan keluarga minta diri untuk balik ke Kampung Durian Gasing, untuk tidur dan rehat secukupnya. Esok kami akan bertolak ke Muar pula....

Friday, June 20, 2008

Walimatulurus Catatan 2


Hujung minggu ini; 22/06/2008 kami sekeluarga dan kerabat terdekat bertandang pula ke Derah Muar, Jajahan Kesultanan Johor. Ke mana lagi kalau tidak menghantar anak dan menantu kesayangan ke rumah besan kami di Parit Rabu.


Kali ini tibalah giliran kami rombongan dari Kuala Lumpur membalas kunjungan orang Muar yang menjadi tetamu kami pada hujung minggu lepas.

Benarlah diriwayat oleh orang Melayu sejak dahulu:
adat bertamu berbalas kunjungan
adat berbesan beramah mesra ke akhir hayat
.



Inilah masanya mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan dua keluarga yang telah diikat dan disatukan melalui perkahwinan... kini sudah ada jambatan menghubungkan orang Muar dan orang Jelebu....


Saya nampak wajah mak mengalir air mata. Maklumlah CUCU KESAYANGAN WAN DAH JADI MILIK ORANG! Saya rasa macam bermimpi pula... hehehe



Seronok sangat kami rombongan dari Jelebu/Kuala Lumpur disambut dengan layanan 1st class. Hutang emas boleh dibayar, tapi hutang budi orang Parit Rabu Muar Johor ini rasanya akan dibawa mati!

Monday, June 16, 2008

Walimatulurus Catatan 1


Sabtu lepas 14/06/2008 anakandaku Khairayanti telah selamat diijabkabul dengan anakanda menantuku Mohd Nazry. Dia anak alahyarhamah Kal Long, tapi aku dan isteriku rasakan seperti anak kami sendiri. Banyak pahit-manis kami suami-isteri berkongsi dengannya. Alahai Yanti anak Pak Wok dan Mak Wok! Kakak Dik Nur la, siapa lagi....





Hari Ahad 15/06/2008 majlis bersanding di Kuala Lumpur. Bertemakan warna kuning keemasan, begitulah gambaran hati dan perasaan kami dan kerabat terdekat. Seronok rupanya perasaan hati bila mendapat menantu.




Susah untuk saya dan isteri merakamkan perasaan hati kami ini... Hanya orang yang pernah mengalaminya yang faham dan tahu erti kegembiraan itu....

Pada Abang Long terima kasihlah kerana dapat sama-sama berkongsi anakandamu dan kegembiraan ini.