...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Wednesday, April 22, 2009

Hajjat Saya Tuhan Kabulkan

Lama nian saya mengusung hajat. Berharap dan terus berharap. Berdoa dan terus berdoa.

Masa terus beredar hari demi hari. Minggu demi minggu. Bulan demi bulan. Saya berharap jua tanpa putus asa.

Satu keajaiban. Hening pagi 18 April 2009 seperti biasa bangun awal dan melakukan solat subuh. Hari itu memang tidak bersarapan dirumah, sudah dirancang sejak awal akan bersarapan selepas menghantar isteri ke sekolahnya.

Saya bersarapan bersama anakanda tersayang di bukit setiawangsa. Selesai mengisi perut terus ke pejabat post di sebelah pasaraya Giant untuk melunaskan bil-bil yang tiba awal April.

Selesai berurusan di pejabat post, terus ke pusat servis kereta kerana telah tiba waktu kereta saya patut diservis. Selesai sahaja servis kereta anakanda minta pula ke Dawama untuk melihat jika ada buku-buku baru terbit untuk dibeli.. namun hampa Dawama rupanya tutup hari Sabtu.

Anakanda merengek mau ke siber cafe tapi saya mengelak dengan memujuknya ke kedai buku di Setiawangsa... berpatah balik kami dua beranak ke sana... heheheh

Memang satu keajaiban. Setiba di kedai buku saya terus bertanya tentang apa yang saya cari: Tafsir Al-Quran dengan kata pengantar oleh ZAABA.

Memang satu keajaiban. Taukeh kedai bangun dari tempat duduknya dan menuju rak buku. Entah dimana silapnya maka jatuh berseleraklah sejumlah buku ke lantai.

Memang satu keajaiban. Dia kata ini ada tinggal satu set lengkap Tafsir Al-Quran satu juz satu juz sebanyak 30 buku. Saya menelitinya. Wahhhhhhhh... inilah dia yang saya cari selama ini. Ia buku lama. Memang susah nak dapat. Ramai yang kata saya akan jadi sang pencari yang tidak dapat menemui apa yang akan saya cari.

Tapi saya sangat yakin saya akan menemuinya.... saya tidak jemu berdoa agar dapat memilikinya... SEKARANG SAYA MEMILIKINYA. Saya bisikkan pada anakanda saya.. "DIK NUR, HARI INI AYAH SANGAT HAPPY. APA YANG AYAH NAK DAH DAPAT. ALLAH KABULKAN HAJAT AYAH.. BUKU INI SUSAH NAK CARI SEKARANG NI.. TAPI INI REZEKI AYAH."

''NANTI BILA AYAH DAH TAK ADA LAGI DI DUNIA INI.. AYAH WARISKAN PADA DIK NUR UNTUK MEMILIKINYA... DIK NUR ANAK AYAH YANG SOLLEH... YA SAYANG AYAH"

Tuesday, April 21, 2009

Kehendak Hati

Sebahagian manusia akan mula mencari agama sebagai jalan keluar bila keadaan masyarakat berselerak, kelam kabut, porak peranda, kekontangan jiwa, keruntuhan nilai akhlak dan budi, sedangkan penyelesaian yang memuaskan tidak dapat ditemui.

Jalan ini sekurang-kurangnya buat menyelesaikan keresahan atau keserabutan yang ada dalam jiwa seseorang. Tidak mustahil di peringkat yang seperti ini, ajaran-ajaran kerohanian yang menawarkan 'kempen-kempen ajaib' akan mendapat perhatian sesetengah golongan. Ilmu tarekat dengan cerita-cerita ajaib dan pelik akan mula diminati oleh sesetengah pihak sebagai satu penyelesaian ekstrem, kononnya dapat membuka kehidupan baru penuh cerita-cerita sakti.

Maka dapat dilihat banyak pihak mula ambil kesempatan atas 'kehausan rohani' masyarakat. Ada yang menyebarkan ajaran sesatnya, ada juga untuk mengumpulkan kekayaan atau kuasa. Keadaan begini berlaku ketika kemelut sosial melanda masyarakat Islam termasuk di zaman 'Abbasiah. Kini berlaku dalam negara kita.

Kini banyak pihak bertanya tentang cerita-cerita tarekat yang mula muncul dalam masyarakat kita. Kita perlu faham bahawa Islam itu ditegakkan atas prinsip-prinsip akidah yang jelas. Paksi akidah Islam terkandung dalam al-Quran dan Sunah.

Apa saja pengalaman kerohanian yang tidak berasas akidah Islam adalah tertolak. Yang boleh diterima jika ia selari dengan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah sahaja.

Biarpun agama lain juga ada pengalaman kerohanian mereka, namun itu semua tidak dijadikan sukatan dalam ajaran Islam untuk menentukan ketepatan ajaran.

Pengalaman kerohanian itu diterima jika selari dengan wahyu yang diturunkan pada Rasulullah saw. Jika ajaran kerohanian itu bercanggah dengan ajaran Rasulullah SAW maka itu bukan jalan hidayah yang diimani oleh seorang Muslim. Memang benar persoalan kerohanian dan penyucian jiwa adalah perkara penting dan ada dalam ajaran Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah yang sahih.

Ikhtiar membersihkan diri mestilah berpandu pada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara tepat. Tanpa tarekat tertentu, apa yang ada dalam al-Kitab dan al-Sunah sudah memadai bagi setiap muslim. Bukanlah bererti bahawa seseorang tidak akan dapat membersihkan diri jika tidak menyertai tarekat .Sebaliknya, sekiranya seseorang berpegang dengan ajaran Nabi SAW dia akan menemui semua penawar untuk jiwa. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah begitu banyak berhubung dengan tazkiah al-Nafs (penyucian jiwa) .

Ahlus Sunnah wal Jama'ah berpegang bahawa jalan untuk membersih telah pun ditunjukkan dengan jelas oleh baginda SAW. Itulah tonggak kerohanian. Bahkan mana-mana jalan (tarekat) kerohanian yang bercanggah dengan jalan Rasul saw adalah ditolak. Dr. 'Abd al-Karim Zaidan dalam buku yang masyhur Usul al-Da'wah menyebut: “Amalan soleh adalah apa yang sahih dan ikhlas kepada Allah”.

Apa yang sahih itu adalah yang menepati syarak, maka membuat bid'ah dalam agama dengan menambah atau mengurangkannya adalah sesuatu yang tidak dibolehkan dan tiada pahala bagi pengamalnya sekalipun dengan niat beribadah kepada Allah.
Bidaah lebih buruk daripada maksiat kerana ia mengubah agama serta menghukum dan mentohmah syarak sebagai cacat, berhajatkan kepada penyempurnaan, pengurangan dan mengubahkan.

Ini adalah perkara yang sangat besar yang kita tidak boleh beriktikad atau beramal dengannya. Untuk itu Rasulullah SAW memberi amaran mengenai bid'ah: Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan dalam agama, kerana setiap yang diada-adakan itu bid'ah, dan setiap yang bid'ah di dalam neraka (sahih: riwayat Abu Daud).
Maka segala kebaikan apa yang bawa oleh syarak dan berpada dengannya. (m.s. 41, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Kita patut sedar, bahawa sebahagian ajaran tasawuf dan tarikat dipengaruhi oleh anasir-anasir luar daripada Islam, seperti unsur-unsur ajaran Kristian, Hindu, Parsi, Yunan dan lain-lain.
Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi: "Para pengkaji tidak boleh membantah bahawa tasawuf pada tahap tertentu, telah terpengaruh dengan unsur-unsur asing, samada anasir Kristian, Hindu, Parsi atau Yunan, juga unsur-unsur Islam.

Kerana banyaknya anasir yang masuk dan diterapkan sehingga sebahagian tasawwuf sampai ke peringkat percaya kepada al-hulul, atau al-ittihad, atau wahdatul wujud. Sebahagian mereka pula bercakap mengenai qidam nur Muhammad atau yang mereka namakan al-hakikat al-Muhammadiyyah (hakikat Muhammad). Juga mereka bercakap mengenai kewalian, para wali, kasyaf, mawajid, zauq dan berhukum dengan perkara-perkara tersebut dalam nas-nas agama.Mereka melampaui batas dalam zuhud dan apa yang berkaitan dengannya sehingga ke peringkat terkeluar dari kesederhanaan Islam kepada kerahiban Kristian apabila mereka memisahkan hakikat dan syariat, berpegang bahawa dalam mendidik murid tasawuf hendaklah dia di hadapan gurunya bagaikan mayat di hadapan orang yang memandikannya". (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Thaqafah al-Da'iyah, m.s. 94-95, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Tulisan ini, bukan bertujuan mematahkan semangat mereka yang ingin membersihkan diri. Sekadar mengingatkan agar berhati-hati. Jangan sampai ada pihak yang tersangkut dengan ajaran yang memisahkan antara hakikat dan syariat, atau dalam erti kata lain menganggap kerohanian yang mereka pelajari tidak lagi bergantung kepada al-Quran dan al-Sunnah.Dalam kehendak ingin mendekati Allah, janganlah kita tersasul sehingga terjun ke lembah falsafah kerohanian yang mengeluarkan pemikiran dan cerita-cerita yang pelik, yang akhirnya bukan membawa insan mendekatkan diri kepada al-Quran dan al-Sunnah, sebaliknya 'seronok sendiri' dengan bahasa dan istilah yang dia anggap orang lain tidak tahu.

Menurut al-Syeikh Munna' al-Qattan ketika memperkatakan tentang tafsir golongan sufi: "Tasawuf telah bertukar menjadi falsafah andaian semata-mata, yang tiada lagi hubungan dengan warak, taqwa dan kezuhudan. Falsafah ini mengandungi pemikiran-pemikiran yang bercanggah dengan Islam dan akidahnya". (Manna' al-Qattan, Mabahith Fi 'Ulum al-Quran, m.s. 356, Riyadh: Maktabah al-Ma'arif).

Dalam dunia umat Islam berbagai ajaran kerohanian atau tarekat wujud. Hingga ada yang salah faham, sehingga menganggap tarekat sufi yang memakai 'skirt' berpusing berjam-jam tanpa henti dalam keadaan khayal seperti di Turki, itulah kerohanian Islam. Sama sekali tidak.
Kita berpegang apa yang al-Imam al-Syatibi (w. 790H) kata: "Golongan sufi juga sama seperti orang lain yang tidak maksum (terpelihara daripada dosa). Adalah mungkin untuk mereka silap, lupa dan bermaksiat sama ada dosa kecil atau besar.

Justeru itu para ulama menyatakan: setiap percakapan boleh diambil atau ditinggalkan, kecuali percakapan Nabi SAW sepertimana kemungkinan untuk selain golongan sufi melakukan maksiat dan bid'ah, demikian mereka (ahli sufi).

Maka wajib bagi kita untuk mengikut orang yang terhalang dari silap (maksudnya Rasullullah SAW) dan berhenti daripada mengikut sesiapa yang tidak terhalang daripada silap apabila melihat pada ikutan tersebut kekeliruan.

Bahkan kita bentangkan apa yang datang daripada para imam kepada al-Kitab dan al-Sunnah. Apa yang keduanya (al-Quran dan al-Sunnah) terima, maka kita terima, dan apa yang kedua tidak terima kita tinggalkannya.Kita hanya diwajibkan mengikut syarak dan kita tidak pula diwajibkan mengikut perkataan dan perbuatan golongan sufi, melainkan setelah dibentangkannya" (kepada al-Quran dan al-Sunnah). (Al-Syatibi, Al-'Itisam m.s 165, Beirut Dar al-Kitab al-'Arabi, Beirut).

MEMAHAMI SIKAP PASANGAN

Isteriku segala-galanya. Dia memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga bahagia. Kerana itu perkahwinan, iaitu akad yang diikat dengan nama Ilahi itu perlu dipandang serius. Islam memberi peluang kepada pasangan untuk memerhatikan bakal suami atau isteri.

Masalah berlainan kampung lumrah terjadi dalam berkahwin, misalnya si suami berasal dari selatan dan si isteri dari utara. Malah mereka yang terdiri daripada pasangan senegeri atau sekampung pun akan menghadapi masalah yang sama. Hakikatnya hal ini tidak akan menimbulkan masalah yang boleh mencetuskan kekeruhan rumah tangga sekiranya kedua-dua belah pihak saling memahami dan bertolak ansur.

Orang Islam yang berkahwin dengan pasangan yang asalnya bukan Islam, daripada bangsa yang berbeza dan tempat tinggal yang memakan masa penerbangan yang lama untuk tiba juga menghadapi masalah.

Masalah mula timbul sedikit demi sedikit, hingga pada perkara-perkara kecil sekalipun setelah pasangan hidup bersama. Perbezaan terbit pada gaya dan bahasa bercakap, cara berfikir, bertindak ketika menyelesaikan masalah, antara pasangan yang terlibat dengan kaum keluarga juga dengan masyarakat sekeliling. Masalah perbezaan kegemaran makanan juga boleh menimbulkan masalah.

Kalau ditinjau pelbagai masalah yang akan timbul itu, berkahwin dengan orang yang terdiri daripada bangsa dan negeri yang sama nampaknya akan lebih mudah dan tidak banyak masalah.
Walaupun perbezaan yang dijelaskan itu tidak boleh dijadikan satu halangan untuk mendirikan rumah tangga atau galakan untuk berkahwin dengan orang sebelah rumah. Yang penting ialah bagaimana kedua-dua pihak itu sanggup berkorban untuk kebahagiaan rumah tangga yang dibina. Setakat mana si isteri sanggup mengorbankan kasih sayang dan cinta yang dimiliki kepada suami yang dinikahi dan membentuk keamanan rumah tangga.

Setiap orang lebih berkecenderungan untuk mengutamakan diri sendiri, berbanding dengan orang lain, mengutamakan orang yang lebih hampir kepadanya, termasuklah saudara mara, sahabat handai. Keadaan seperti ini akan terus menerus berlaku kerana keadaan ini adalah merupakan keadaan semula jadi.

Setelah seseorang itu mendirikan rumah tangga, keutamaan yang tertumpu pada diri sendiri, pada kedua-dua ibu bapa, pada keluarga itu bertambah, diabadikan bersama untuk pasangan dan anak-anak yang dilahirkan. Kasih sayang terhadap orang yang hampir dengannya termasuk ibu bapa dan saudara mara tetap wujud bergantung setakat mana kerapnya jalinan antara mereka.

Apabila cuti panjang atau Hari Raya tiba, rasa rindu dan kasih mesra itu datang menyelinap memenuhi kalbu berbanding dengan hari-hari lain. Itulah di antara kelebihan Hari Raya, iaitu menjalin kembali segala kasih sayang dan rindu di antara individu dan kumpulan manusia.

Orang yang berupaya mengawal perasaan berupaya membahagikan masa untuk melepaskan rasa rindu kepada orang yang selama ini menjadi tempat mengadu kasih, tempat bersandar dan pegangan ketika membesar. Sekali di rumah ibu bapa sendiri, bertemu adik-beradik, saudara mara dan teman-teman sekampung dan sekali di rumah ibu bapa pasangannya, kerana mereka telah menjadi saudara hasil daripada pernikahan. Jangka masa di mana perlu tinggal menghabiskan cuti bergantung kepada keperluan.

Bagi yang tidak berupaya menimbang hal-hal seumpama ini dan lebih mengikut perasaan dengan tidak memikiri, menjaga hati orang yang menjadi teman hidupnya akan bertindak seperti budak-budak, hendak pergi tempat yang banyak patung atau banyak gula sahaja tanpa berupaya memikir berapa banyak wang akan habis kalau hendaknya dituruti. Ia akan memberontak dan sukar menerima alasan yang di rumah telah banyak patung atau barang mainan dibeli. Mungkin anak-anak tadi tidak masuk ruang barang mainan atau kedai gula-gula kerana kehendaknya tidak dituruti, tetapi tabiatnya terus berubah, membisu, memuncung panjang, jauh sekali untuk bergurau senda seperti biasa.

Hal-hal seumpama ini adalah remeh dan kecil. Masih banyak perkara yang lebih penting yang seharusnya menjadi masalah dalam rumah tangga perlu difikiri dan dibincangkan oleh suami isteri.

Setiap orang perlu berkorban untuk orang yang dikasihi dan bertolak ansur demi cinta. Banyak orang lain yang lebih tidak bernasib baik dan tidak dapat berhari raya di samping keluarga, termasuk perajurit yang berada di luar negara, yang sering dalam berjaga-jaga antara hidup dan mati, pegawai keselamatan yang berada di sempadan, mereka yang bekerja di pelantar minyak di tengah lautan dan sebagainya.

Kalau kita fikir mereka yang terlibat dengan tugas-tugas seperti ini, kita dan pasangan akan merasa betapa besarnya nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita.
Perkara dianggap remeh dan kecil tidak dinafikan yang boleh menggegarkan kerukunan rumah tangga yang sedia ada. Di samping menjadi punca selisih faham, keadaan boleh menjadi buruk andainya terdapat masalah-masalah lain sebelum itu, Dalam keadaan seumpama ini, jangan keruhkan lagi keadaan yang sedia buruk.

Masih ada ruang bagi isteri untuk senyum di sepanjang jalan menuju ke kampung menemui ibu bapa dan saudara mara. Isteri hanya tidak mahu bercakap, tanda protes yang dia tidak begitu gembira dibawa balik ke kampung kita. Mungkin dia akan bercakap dan senyum setelah dipujuk dengan baik. Kita tentu tahu kelemahan isteri sendiri, tentang pujukan yang macam mana membolehkan ia mengorak senyum. Jangan turut mendiamkan diri apabila isteri kita memuncung panjang memalingkan muka ke cermin kiri ketika di perjalanan.

Mungkin ada faktor luaran menyebabkan isteri kita bertindak begitu. Boleh jadi ia tidak suka balik kampung kerana kampung kita tidak sesuai baginya, kerana ia telah dididik sejak dalam perut itu dengan air paip dan bilik berhawa dingin. Memang boleh berlaku orang yang dari kota tidak boleh buang air besar beberapa hari kalau ia ke kampung yang terpaksa ke tandas di pangkal pokok atau di semak. Keadaan akan lebih buruk apabila nyamuk mengerumun. Biarpun ini boleh dijadikan alasan isteri kita tetap tidak wajar mendiamkan diri ketika dalam perjalanan.

NABI IBRAHIM PENGIKUT AJARAN TAUHID (sumbangan Dr. Zulkifli Mohamad Albakri)

SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: “Allah SWT menyebut pada ayat terdahulu berkenaan dua kumpulan Yahudi dan Kristian yang mendakwa agama mereka adalah agama Allah yang sebenar. Dan bahawasanya, ia adalah agama para Nabi keseluruhan. Begitu juga agama Nabi Ibrahim a.s.
“Mereka juga mendakwa bahawa mereka tidak pernah meminda dan menukar ayat-ayat Allah. Begitu juga golongan musyrikin mendakwa dari kalangan keturunan Nabi Allah Ibrahim tetapi Allah menjelaskan dalam ayat ini bahawa Nabi Ibrahim tidak mengikut dakwaan dan sangkaan mereka. Tetapi ia Nabi wahdaniah yang mengesakan Allah serta meruntuhkan segala berhala”.
Ayat ke-67
Firman Allah SWT yang bermaksud: Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.
Sebab Nuzul
Ibn Jauzi berkata: Ada dua pendapat berkenaan dengan sebab nuzul.
Pertama: Pembesar Yahudi berkata kepada Nabi SAW bahawa kami lebih utama daripadamu dengan agama Ibrahim a.s dan dia adalah di kalangan Yahudi sedangkan kamu adalah yang berhasad lantas turun ayat ini. Ini adalah pendapat Ibn Abbas r.a..
Kedua: Amru bin al-As hendak menjadikan raja Najasyi murka kepada sahabat Nabi seraya berkata: “Mereka mencerca Isa a.s lantas Raja Najasyi bertanya: Apakah yang dikatakan oleh sahabatmu (Muhammad tentang Isa)?”
Mereka menjawab ia adalah hamba Allah dan rohnya serta kalimah yang dicampakkannya kepada Maryam, kemudian turunnya ayat ini seperti kata Abdul Rahman bin Ghanam.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: “Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Nabi Allah Ibrahim a.s tidak syirik tetapi menganut agama yang sebenar serta beriman”.
Ayat ini sebenarnya sama seperti ayat 135 daripada surah al-Baqarah yang bermaksud: Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: “Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk agama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk”. Katakanlah (Wahai Muhammad: “Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut agama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik”.
ii. Al-Qurtubi berkata: “Allah menyucikan segala dakwaan-dakwaan mereka yang dusta dan menerangkan bahawa Nabi Ibrahim a.s di atas agama yang sebenar tanpa sekutu”.
iii. Sheikh Sya’rawi berkata: “Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Ibrahim bukan golongan Yahudi kerana golongan itu datang selepasnya. Begitu juga bukan golongan Nasrani kerana golongan itu datang selepasnya.
“Berdasarkan kepada kalimah Hanif jelas menunjukkan bahwa Ibrahim AS penganut agama yang bersih datang daripada Allah SWT yang tiada sebarang condong ke mana arah pun”.
iv. Al-Maraghi berkata: “Nabi Ibrahim seorang yang telah diakui kebesaran dan kehormatannya oleh bangsa Yahudi, kaum Nasrani, dan golongan-golongan musyrik. Namun sama sekali tidak ada dengan agama mereka penyembahan berhala.
“Baginda seorang yang hanya menyerah diri kepada Allah SWT semata dan seorang yang taat kepada-Nya”.
v. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini membantah kebohongan mereka. Nabi Ibrahim a.s bukan seorang Yahudi seperti yang diakui oleh orang-orang Yahudi dan bukan pula seorang Nasrani seperti yang diakui oleh orang-orang Nasrani dengan dalil yang dikemukakan.
“Sebaliknya, dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri kepada Allah dan juga sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang musyrik, yang dapat diduga oleh orang-orang musyrik Mekah yang mengaku mengikut agama beliau”.
Ayat ke-68.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya- umat Islam) dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang Yang beriman.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: “Orang yang paling berhak mengikuti Ibrahim dan agamanya adalah Nabi Muhammad SAW dan mereka yang beriman dengannya di kalangan Muhajirin dan Ansar serta mengikut jejak mereka”.
ii. Riwayat Ibn Mas’ud r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap Nabi ada wali-wali di kalangan Nabi-nabi. Dan waliku di kalangan mereka ialah bapaku (Ibrahim a.s) dan kekasih Tuhanku Azzawajalla.
“Kemudian Nabi SAW membaca ayat ini yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekelian orang-orang Yang beriman”.
iii. Al-Maraghi berkata: “Inilah hakikat Islam dan tujuan iman yang sebenar. Barang siapa yang kehilangan jiwa seperti itu bererti dia telah kehilangan seluruh agamanya (dalam sanubari)”.
iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini turun menundukkan persoalan, yakni: Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim dan paling berhak dinamai pengikut Nabi Ibrahim ialah orang-orang yang bersungguh-sungguh mengikutnya baik yang hidup pada masa beliau mahupun yang sesudahnya”.
v. Hamka berkata: “Tuhan menjamin bahawasanya apabila orang telah benar-benar beriman kepada-Nya, tidak lagi menduakan hati kepada orang lain, tidak memandang ada yang memberi manfaat atau mudarat dalam ala mini selain Allah SWT, orang-orang sedemikian akan dipelihara oleh Allah SWT”.
Demikianlah ayat yang membincangkan berkenaan dengan dakwaan Nabi Ibrahim AS dari golongan mereka sedangkan dakwaan itu adalah meleset dan batil sebagaimana yang dinafikan oleh Allah SWT.
Semoga kita menjadi hamba Allah yang beriman dengan sebenar-benarnya dan tidak menyeleweng sebagaimana golongan yang lain.

Thursday, April 16, 2009

Luahan Hati Yang Sangat Jujur

Ada kesempatan saya mengunjungi beberapa blog... tertarik dengan tulisan Sdra. Hisamuddin Rais yang terlalu jujur ini, untuk sama-sama dikongsi pengunjung blog saya.
====================================================
Kalaulah saya juga Minah Indonesia
Hishamuddin Rais Feb 7, 09 3:59pm

Sama ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) wujud atau mati, orang awam di negara kita akan terus bercakap dalam Bahasa Melayu. Manusia di mana-mana pun dalam dunia ini perlu berhubung antara satu dengan yang lain. Bunyi yang keluar dari mulut dan tekak mereka menjadi cara terbaik untuk berhubung. Bunyi ini akan menyampaikan apa yang ada dalam fikrah mereka. Jutaan tahun dahulu, bunyi-bunyi ini tunggang-langgang sifatnya. Masa dan keperluan untuk berhubung sesama manusia telah mengembangkan bunyi ini dari satu susuk ke satu kumpulan hingga ke satu daerah dan mukim. Kemudian ia menjadi tersusun, bercambah dan berkembang – akhirnya bunyi ini dipanggil bahasa.Semua ini berlaku tanpa dana daripada Kementerian Pelajaran atau DBP.Heboh-heboh Bahasa Melayu mula kedengaran kembali di awal tahun ini. Heboh-heboh bahasa dalam negara kita ini macam perangai kelab dangdut: kejap-kejap ada, kadang-kadang hilang. Tetapi selalunya hilang entah ke mana. Macam berniaga buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap.Pernahkah para pembaca terdengar nama Gapena (Gabungan Penulis Nasional), Pena (Persatuan Penulis Nasional) dan beratus-ratus jenis kumpulan yang mengakui bahawa ahli-ahlinya bakal penulis, penulis dan sasterawan? Sesiapa yang tidak pernah mendengar, tidak mengapa. Kita tidak akan dimarahi oleh menteri dalam negeri Syed Hamid Albar atau disaman oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).Nama-nama yang saya tulis di atas itu badan-badan sasterawan Melayu yang "berani" mengakui diri mereka sebagai pewaris, pengembang dan penjaga Bahasa Melayu. Saya cukup sangsi dengan pengakuan badan-badan ini. Telah lama saya perhatikan. Badan-badan ini lebih banyak dilihat sebagai pembodek kuasa daripada berjuang untuk menegakkan Bahasa Melayu.Untuk saya, susuk ulung yang trampil dalam mengembangkan Bahasa Melayu pada ketika ialah Minah-minah Indonesia dan bukan badan-badan sasterawan ini.Cuba perhatikan: Pada ketika ini Minah-minah Indonesia ini berada di setiap pelusuk kota-kota besar di negara kita ini. Mereka datang ke sini untuk bekerja mencari nafkah. Mereka tidak mengira kerja apa pun - semua sanggup mereka lakukan. Mereka tidak memilih siapa majikan mereka. Mereka tidak menilai apa agama majikan mereka. Mereka tidak menghiraukan di lubang mana mereka akan bekerja. Inilah sikap dan nilai kaum buruh, kaum proletariat, yang dibawa oleh Minah-minah Indonesia ke sini.Wajib disedari bukan semua mereka ini Melayu. Ertinya bukan semua bahasa ibunda mereka Bahasa Melayu. Ada Minah Jawa, ada Minah Sulawesi, ada Minah Ambon, ada Minah Madura. Semua suku kaum ini memiliki bahasa khusus masing-masing – bahasa ibunda mereka tersendiri. Tetapi apabila memburuh dan membanting tulang di negara kita, mereka menggunakan Bahasa Melayu. Perhatikan apa yang akan terjadi apabila mereka menjadi pembantu rumah di sebuah rumah Tioghua kelas menengah. Minah-minah Indonesia ini tidak mengetahui Bahasa Inggeris. Mereka wajib berhubung, justeru pastilah Bahasa Melayu yang akan digunakan di antara si Minah dengan majikannya. Tidak dapat tidak majikannya, yang mungkin selesa dengan Bahasa Inggeris, kini wajib bertutur dalam Bahasa Melayu.Kehadiran si Minah ini telah memaksa keluarga Tionghua kelas menengah menggunakan Bahasa Melayu. Keadaan ini lebih hebat daripada kempen-kempen penggunaan Bahasa Kebangsaan anjuran kerajaan yang hanya sibuk di poster-poster dan kain-kain rentang.Biasanya majikan dari kelas menengah memiliki sikap tak ambil endah terhadap Bahasa Melayu. Jadi, apabila si pembantu ini datang, maka untuk pertama kalinya si majikan "terpaksa" mempelajari kembali cara yang betul dan tepat untuk bertutur dalam Bahasa Melayu. Tidak ada peranan DBP, Kementerian Pelajaran, Teras (Teras Pengupayaan Melayu) atau sasterawan Melayu di sini. Semua pengajaran Bahasa Melayu ini berjalan tanpa paksaan. Semuanya berjalan tanpa akta Parlimen atau riuh-rendah daripada Gapena.Jika si Minah ini menjadi babu menjaga anak, maka peranan babu ini cukup penting. Si Babu yang mendodoikan anak kecil ini akan lebih banyak berguli dan berjenaka dengan si anak kecil. Malah jika diambil nisbah masa, waktu si babu bersama anak lebih banyak berbanding dengan waktu si ibu bersama anak. Si babu Minah Indonesia ini pastilah bertutur dalam Bahasa Melayu yang tersusun. Bunyi yang keluar dari tekak dan mulut si babu inilah yang akan sentiasa didengar oleh telinga si anak kecil. Inilah bukti si babu ini sedang menjadi pengembang Bahasa Melayu tanpa ada laporan huhah huhah dalam Dewan Sastera atau Dewan Masyarakat. Atau laporan daripada Kementerian Pelajaran.Lihat apa yang sedang terjadi di Hong Kong. Di kota pulau ini, tanpa dirancang, Tagalog menjadi bahasa kedua rakyat di sana. Ia berlaku kerana hampir semua babu dan pembantu rumah di Hong Kong didatangkan dari Filipina. Tidak dapat tidak anak-anak kecil yang dijagai oleh Minah Filipina ini akan fasih berbahasa Tagalog.Saya juga sering ke kedai makan dan ke restoran Cina. Saya perhatikan banyak, malah hampir semua, restoran Cina di kota Kuala Lumpur ini mengambil pekerja Minah Indonesia. Ada yang bertugas di dapur, ada yang membuat minuman dan ramai yang menjadi pelayan tamu. Minah-minah ini tanpa segan-silu bekerja dalam restoran Cina. Sekali lagi saya perhatikan betapa pentingnya peranan mereka. Kalau Minah ini menjadi pelayan di restoran Cina, sudah pasti para pelanggan Cina yang akan dilayani. Si Minah akan mengambil pesanan. Si Minah akan membersihkan meja. Si Minah akan menyusun tempat duduk. Si Minah ke dapur menghantar pesanan. Beginilah pekerjaan pelayan. Tetapi ada satu lagi pekerjaan yang saya anggap lebih suci tetapi tidak dapat dinilai dengan ringgit dan dolar – si Minah pelayan di restoran Cina ini penyebar Bahasa Melayu yang ulung. Saya perhatikan Bahasa Melayu yang dituturkan oleh Minah-minah Indonesia ini cukup teratur. Lenggok dan lagunya bahasa baku. Si Minah ini tidak pernah akan mengubah telo bunyi yang akan keluar dari mulut dan tekak mereka. Bunyi-bunyi yang dikeluarkan adalah sama – tidak mengira apakah si pelanggan seorang apek berseluar pendek atau seorang taukeh berjaket dan bertali leher.Malah daripada pemerhatian saya, Bahasa Melayu yang dituturkan oleh Minah-minah ini lebih baik susunan ayatnya daripada pertuturan kelam bin kabut dan lintang bin pukang yang terhambur dari tekak para pengacara televisyen dan radio kita. Saya pendukung penggunaan Bahasa Melayu. Saya bukan pembodek bahasa – apabila ada kempen-kempen Bahasa Kebangsaan dijalankan, maka saya tidak akan "menonjol-nonjol" untuk masuk ke "bingkai" untuk berdiri di sebelah menteri. Saya tidak akan memakai baju batik berlengan panjang untuk membaca-baca sajak yang saya sendiri pun tidak memahami hujung pangkal. Untuk saya, semua ini kerja bodoh.Bahasa Melayu, untuk saya, bukan Bahasa Kebangsaan. Saya tidak memiliki nilai "kebangsaan". Bahasa Melayu milik anak semua bangsa. Bahasa Melayu adalah bunyi-bunyi dari tekak dan mulut untuk tujuan kita berhubung antara satu sama lain. Bunyi-bunyi ini wujud untuk kita berhubung, mengenal, menyambung nilai dan menyambung sejarah kita.Bahasa Melayu, untuk saya, "bahasa strategik untuk perubahan". Saya mengamal, menyebar dan mencanangkan Bahasa Melayu bukan kerana saya Melayu tetapi kerana saya yakin hanya penggunaan Bahasa Melayu ini sahaja yang akan dapat menolak terbuka apa sahaja bentuk perubahan yang diinginkan di negara kita ini.Kalau sesiapa yakin tentang peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan, maka mereka wajib memiliki nilai-nilai seperti Minah-minah Indonesia yang sedang memburuh dalam negara kita sekarang. Saya cukup menghormati Minah-minah Indonesia ini – untuk saya - merekalah pejuang Bahasa Melayu yang tulen. Meremang bulu tengkuk, dan besar kemungkinan saya juga akan muntah, jika saya disabitkan dengan gerakan Bahasa Kebangsaan. Saya lebih berbesar hati dan berbangga jika saya juga dapat dianggap sebagai Minah Indonesia.

Thursday, April 9, 2009

Menjenguk Blogku Ini

Lama juga tak up-date blog ini. Memang saya sibuk sangat... InsyaAllah bila ada kelapangan nanti saya akan menulis kembali...