Sebahagian manusia akan mula mencari agama sebagai jalan keluar bila keadaan masyarakat berselerak, kelam kabut, porak peranda, kekontangan jiwa, keruntuhan nilai akhlak dan budi, sedangkan penyelesaian yang memuaskan tidak dapat ditemui.
Jalan ini sekurang-kurangnya buat menyelesaikan keresahan atau keserabutan yang ada dalam jiwa seseorang. Tidak mustahil di peringkat yang seperti ini, ajaran-ajaran kerohanian yang menawarkan 'kempen-kempen ajaib' akan mendapat perhatian sesetengah golongan. Ilmu tarekat dengan cerita-cerita ajaib dan pelik akan mula diminati oleh sesetengah pihak sebagai satu penyelesaian ekstrem, kononnya dapat membuka kehidupan baru penuh cerita-cerita sakti.
Maka dapat dilihat banyak pihak mula ambil kesempatan atas 'kehausan rohani' masyarakat. Ada yang menyebarkan ajaran sesatnya, ada juga untuk mengumpulkan kekayaan atau kuasa. Keadaan begini berlaku ketika kemelut sosial melanda masyarakat Islam termasuk di zaman 'Abbasiah. Kini berlaku dalam negara kita.
Kini banyak pihak bertanya tentang cerita-cerita tarekat yang mula muncul dalam masyarakat kita. Kita perlu faham bahawa Islam itu ditegakkan atas prinsip-prinsip akidah yang jelas. Paksi akidah Islam terkandung dalam al-Quran dan Sunah.
Apa saja pengalaman kerohanian yang tidak berasas akidah Islam adalah tertolak. Yang boleh diterima jika ia selari dengan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah sahaja.
Biarpun agama lain juga ada pengalaman kerohanian mereka, namun itu semua tidak dijadikan sukatan dalam ajaran Islam untuk menentukan ketepatan ajaran.
Pengalaman kerohanian itu diterima jika selari dengan wahyu yang diturunkan pada Rasulullah saw. Jika ajaran kerohanian itu bercanggah dengan ajaran Rasulullah SAW maka itu bukan jalan hidayah yang diimani oleh seorang Muslim. Memang benar persoalan kerohanian dan penyucian jiwa adalah perkara penting dan ada dalam ajaran Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah yang sahih.
Ikhtiar membersihkan diri mestilah berpandu pada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara tepat. Tanpa tarekat tertentu, apa yang ada dalam al-Kitab dan al-Sunah sudah memadai bagi setiap muslim. Bukanlah bererti bahawa seseorang tidak akan dapat membersihkan diri jika tidak menyertai tarekat .Sebaliknya, sekiranya seseorang berpegang dengan ajaran Nabi SAW dia akan menemui semua penawar untuk jiwa. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah begitu banyak berhubung dengan tazkiah al-Nafs (penyucian jiwa) .
Ahlus Sunnah wal Jama'ah berpegang bahawa jalan untuk membersih telah pun ditunjukkan dengan jelas oleh baginda SAW. Itulah tonggak kerohanian. Bahkan mana-mana jalan (tarekat) kerohanian yang bercanggah dengan jalan Rasul saw adalah ditolak. Dr. 'Abd al-Karim Zaidan dalam buku yang masyhur Usul al-Da'wah menyebut: “Amalan soleh adalah apa yang sahih dan ikhlas kepada Allah”.
Apa yang sahih itu adalah yang menepati syarak, maka membuat bid'ah dalam agama dengan menambah atau mengurangkannya adalah sesuatu yang tidak dibolehkan dan tiada pahala bagi pengamalnya sekalipun dengan niat beribadah kepada Allah.
Bidaah lebih buruk daripada maksiat kerana ia mengubah agama serta menghukum dan mentohmah syarak sebagai cacat, berhajatkan kepada penyempurnaan, pengurangan dan mengubahkan.
Ini adalah perkara yang sangat besar yang kita tidak boleh beriktikad atau beramal dengannya. Untuk itu Rasulullah SAW memberi amaran mengenai bid'ah: Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan dalam agama, kerana setiap yang diada-adakan itu bid'ah, dan setiap yang bid'ah di dalam neraka (sahih: riwayat Abu Daud).
Maka segala kebaikan apa yang bawa oleh syarak dan berpada dengannya. (m.s. 41, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Kita patut sedar, bahawa sebahagian ajaran tasawuf dan tarikat dipengaruhi oleh anasir-anasir luar daripada Islam, seperti unsur-unsur ajaran Kristian, Hindu, Parsi, Yunan dan lain-lain.
Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi: "Para pengkaji tidak boleh membantah bahawa tasawuf pada tahap tertentu, telah terpengaruh dengan unsur-unsur asing, samada anasir Kristian, Hindu, Parsi atau Yunan, juga unsur-unsur Islam.
Kerana banyaknya anasir yang masuk dan diterapkan sehingga sebahagian tasawwuf sampai ke peringkat percaya kepada al-hulul, atau al-ittihad, atau wahdatul wujud. Sebahagian mereka pula bercakap mengenai qidam nur Muhammad atau yang mereka namakan al-hakikat al-Muhammadiyyah (hakikat Muhammad). Juga mereka bercakap mengenai kewalian, para wali, kasyaf, mawajid, zauq dan berhukum dengan perkara-perkara tersebut dalam nas-nas agama.Mereka melampaui batas dalam zuhud dan apa yang berkaitan dengannya sehingga ke peringkat terkeluar dari kesederhanaan Islam kepada kerahiban Kristian apabila mereka memisahkan hakikat dan syariat, berpegang bahawa dalam mendidik murid tasawuf hendaklah dia di hadapan gurunya bagaikan mayat di hadapan orang yang memandikannya". (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Thaqafah al-Da'iyah, m.s. 94-95, Beirut: Muassasah al-Risalah)
Tulisan ini, bukan bertujuan mematahkan semangat mereka yang ingin membersihkan diri. Sekadar mengingatkan agar berhati-hati. Jangan sampai ada pihak yang tersangkut dengan ajaran yang memisahkan antara hakikat dan syariat, atau dalam erti kata lain menganggap kerohanian yang mereka pelajari tidak lagi bergantung kepada al-Quran dan al-Sunnah.Dalam kehendak ingin mendekati Allah, janganlah kita tersasul sehingga terjun ke lembah falsafah kerohanian yang mengeluarkan pemikiran dan cerita-cerita yang pelik, yang akhirnya bukan membawa insan mendekatkan diri kepada al-Quran dan al-Sunnah, sebaliknya 'seronok sendiri' dengan bahasa dan istilah yang dia anggap orang lain tidak tahu.
Menurut al-Syeikh Munna' al-Qattan ketika memperkatakan tentang tafsir golongan sufi: "Tasawuf telah bertukar menjadi falsafah andaian semata-mata, yang tiada lagi hubungan dengan warak, taqwa dan kezuhudan. Falsafah ini mengandungi pemikiran-pemikiran yang bercanggah dengan Islam dan akidahnya". (Manna' al-Qattan, Mabahith Fi 'Ulum al-Quran, m.s. 356, Riyadh: Maktabah al-Ma'arif).
Dalam dunia umat Islam berbagai ajaran kerohanian atau tarekat wujud. Hingga ada yang salah faham, sehingga menganggap tarekat sufi yang memakai 'skirt' berpusing berjam-jam tanpa henti dalam keadaan khayal seperti di Turki, itulah kerohanian Islam. Sama sekali tidak.
Kita berpegang apa yang al-Imam al-Syatibi (w. 790H) kata: "Golongan sufi juga sama seperti orang lain yang tidak maksum (terpelihara daripada dosa). Adalah mungkin untuk mereka silap, lupa dan bermaksiat sama ada dosa kecil atau besar.
Justeru itu para ulama menyatakan: setiap percakapan boleh diambil atau ditinggalkan, kecuali percakapan Nabi SAW sepertimana kemungkinan untuk selain golongan sufi melakukan maksiat dan bid'ah, demikian mereka (ahli sufi).
Maka wajib bagi kita untuk mengikut orang yang terhalang dari silap (maksudnya Rasullullah SAW) dan berhenti daripada mengikut sesiapa yang tidak terhalang daripada silap apabila melihat pada ikutan tersebut kekeliruan.
Bahkan kita bentangkan apa yang datang daripada para imam kepada al-Kitab dan al-Sunnah. Apa yang keduanya (al-Quran dan al-Sunnah) terima, maka kita terima, dan apa yang kedua tidak terima kita tinggalkannya.Kita hanya diwajibkan mengikut syarak dan kita tidak pula diwajibkan mengikut perkataan dan perbuatan golongan sufi, melainkan setelah dibentangkannya" (kepada al-Quran dan al-Sunnah). (Al-Syatibi, Al-'Itisam m.s 165, Beirut Dar al-Kitab al-'Arabi, Beirut).
DALAM HATI ADA ALLAH
10 years ago
No comments:
Post a Comment