...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Thursday, June 18, 2009

BUAH BELULUK


Inilah BUAH BELULUK. Kalau tidak silap saya ia banyak terdapat di belukar negara ini. Masa kanak-kanak dulu kita orang selalu melagukan puisi lisan berkait buah beluluk ni:

Ikut kata enggang
makan buah beluluk
ikut kata orang
tenggelam dalam lubuk..

Memang makna tersurat dan tersirat dalam SELOKA BELULUK ini hebat sangat. Selain itu banyak lagi rahsia yang terungkap dalam buah beluluk ni....

POTRET TUA YANG SAYA TENGOK...


Terima kasih pada lukisan potret ini... membawa isu yang ramai manusia takut, itulah 'TUA'

Dalam hidup ini tua tidak datang diundang.. ia datang dalam keadaan orang tak suka, benci dan marah padanya. Ia tetap datang juga. Begitulah.

Ekspresi wajah yang ditampilkan menyerlahkan situasi tak kesampaian dengan pernyataan mandatori.. mahu atau tak mahu awak mesti terima juga. Hanya ia tetap patuh meneruskan kesinambungan gaya klasik sebuah potret.

Saya nak juga tengok subjek tua ni dalam gaya retro, menggunakan warna-warna panas dan berani... songkok di tukar kepada topi, rambut pendek dan kemas tu tukar kepada panjang, serabut dan tak terurus... namun rias kedut diwajah terus kekalkan sebagai eleman tua yang tidak boleh dibantah dan dipertikaikan. Ya tua dalam dimensi dunia serba moden.

Terima kasih kerana mengingatkan saya tentang usia tua...

MEMORI INDAH SAYA


Dokong ini buah bermusim
isinya manis pangsanya lima
pohonnya kini berbuah rajin
sisinya manggis ayahanda punya.

Tengok buah dokong ini.. pasti saya teringat pohon dokong ayahanda di kampung kami. Tiba musim buah pohon itu akan mengeluarkan kudup-kudup bunga disekeliling batang dan dahannya. Seterusnya ia berbunga, berputik dan muncul gugusan buah-buah bewarna hijau muda yang sangat lebat. Buah-buah itu kalau diasuh oleh air hujan dan embun pagi akan menghasilkan buah yang baik. Ibu akan memancutkan air paip ke pohon dokong itu kalau ia berbuah pada musim panas.

Biasanya dokong ayahanda akan masak ranum bila tiba musim panas. Pokoknya yang rendang itu memudahkan saya memetik segugus demi segugus setiap hari yang terluang. Saya biasanya makan sorang-sorang sebab adik-beradik yang lain lebih suka buah epal dan oren. Ada masanya saya akan panggil ayam kampung peliharaan mak untuk makan bersama-sama saya. saya kopek isi buah dokong itu dan campakkan pada ibu ayam. Seronok melihat ibu ayam itu mematuk ulas-ulas isi dokong sambil berbunyi riuh memanggil anak-anaknya untuk berkongsi menikmati isi dokong yang manis itu.... heheheheh. inilah my sweet memory untuk dikongsi bersama ....