HIDAYAH itu petunjuk Allah ke arah kebenaran.
Imam Al-Qurtubi membahagikan hidayah kepada dua, iaitu Hidayah tunjuk ajar sebagai proses penerimaan hidayah yang pertama, kerana ia merupakan proses mencari hidayah Allah swt oleh manusia itu sendiri. Proses hidayah yang kedua pula ialah pengurniaan hidayah oleh Allah swt kepada hambaNya yang mencari hidayahNya.
Allah itu maha memberi kurnia (Al-Wahhab), maka pasti Allah akan mengurniakan balasan yang baik kepada hambaNya. Hidayah Allah itu akan diberikan kepada hamba yang berusaha mencari hidayahNya terlebih dahulu. Demikianlah menurut tafsiran sebahagian ulama yang maksudnya: Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya ke jalan Yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya). (Al-Baqarah:213)
Manusia hendaklah sentiasa berdoa dan berusaha untuk mendapatkan sesuatu lebih-lebih lagi hidayah Allah, kerana Allah S.W.T berfirman yang maksudnya: Dan mintalah kepadaku, nescaya aku kabulkan (Gafir:60)Sebagai seorang muslim sumber hidayah adalah Al-Quran sebagai kitab suci yang diturunkan Allah swt kepada Nabi Muhammad saw untuk disampaikan kepada seluruh umatnya sebagai pedoman dan tuntunan hidup menuju jalan taqwa. Sekiranya kita ingin dekat dengan hidayah Allah, dekat-dekatlah dengan Al-Quran. Selalu baca, fahami maknanya, dan amalkan dalam kehidupan seharian. InsyaAllah kita akan mendapatkan petunjukNya menuju jalan ketaqwaan dan dikurnia hidayah yang merupakan kurnia maha hebat.
Untuk mencari hidayah Allah, semasa membaca Al-Quran kita berusaha memahami maknanya, dan setelah faham maka jangan bertangguh lagi untuk diamalkan. Segerakan.
Misalnya ketika kita sampai kepada ayat yang memerintahkan untuk memakai jilbab (menutup aurat dengan benar seperti yang dicontohkan dalam Al-Quran) justru itulah saat hidayah datang kepada kita, kini terserah kepada keputusan kita sendiri mahu mengamalkan atau tidak. Jika kita ikhlas mengamalkan niscaya Allah swt akan menuntun kita kepada jalan ketakwaan bukan jalan kefasikan. Jangan suka panjang angan-angan dan bertangguh-tangguh untuk berbuat kebaikan, bertangguh-tangguh untuk bertaubat kerana kita tidak pasti berapa lama lagi kita akan hidup di dunia ini.
Begitu juga ketika membaca ayat tentang menjaga pandangan, larangan mendekati zina maka segeralah mengamalkan ayat tersebut. Jangan ditunda lagi. Jangan sampai hidayah berlalu dari hadapan kita. Ketika kita sampai kepada ayat tentang haji, segera berniat dan berusaha mempersiapkan diri untuk menuaikan haji. Memang haji diwajibkan bagi yang mampu, namun yakinlah jika kita berusaha dan berdoa dengan sungguh-sungguh maka Allah akan menolong kita, memberikan jalan yang tak disangka-sangka. Sering kita mendengar seorang penoreh getah, pesawah dan nelayan yang harus menyara keluarga dengan anak yang ramai namun kerana azam dan ikhtiar yang sangat gigih dan atas izin Allah swt dia mampu untuk beribadah ke tanah suci. Jangan cepat merasa tidak mampu. Optimislah. Dengan izin Allah semua hal yang tidak mungkin boleh menjadi mungkin. Bergantunglah kepada Allah, hanya kepada-Nya
Ketika membaca Al-Quran, luruskan niat untuk Allah. Jangan kita membaca untuk menarik perhatian orang lain, untuk mendapatkan pujian dan sebagainya. Niatkan semuanya hanya untuk Allah maka Allah akan mencukupkan keperluan hidup kita di dunia.
Hidayah boleh juga datang dari setiap kejadian yang menimpa kehidupan kita. Ketika ada orang memusuhi kita, menyakiti hati kita, jadikan itu sebagai petunjuk datangnya hidayah dari Allah yang melatih kita untuk bersikap sabar. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar, dan ketika kita dekat dengan Allah, dekat dengan cinta Allah, maka Allah akan sentiasa menolong kita. hasbunallahu wa ni'mal wakil ni'mal maulaa wa'ni'mannashiir..Cukuplah Allah sebagai Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung, Allah adalah pelindung dan penolong yang baik.
Sebenarnya setiap ujian dari Allah swt mempunyai jawapannya dalam Al-Quran. Istikomahlah dalam mencari ilmu dan ilmu yang paling tinggi kedudukannya adalah ilmu dari Allah yang dapat kita kaji dalam Al-Quran dan as-Sunnah, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
Allah menganugerahkan al hikmah (kepahaman yang dalam tentang Al Qur'an dan As Sunnah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa yang dianugerahi al hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah). (Al-Baqarah, 2:269)
Ketika kita mendapatkan hidayah Allah, hikmah dari Allah maka kita akan sampai pada tahap ikhlas dan tunduk terhadap segala ketentuan Allah, sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
(22) Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (23) (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri, (Al-Hadid, 57:22-23)
[]
No comments:
Post a Comment