...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Thursday, July 23, 2009

a4. Mentarbiah Anak Ada Caranya


Rasulullah mengingatkan lelaki yang ingin berkahwin supaya membuat pilihan tepat iaitu memilih perempuan yang mempunyai pegangan agama, seterusnya diikuti kriteria paras rupa, keturunan dan harta.

Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Abu Daud; Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: "Wanita dikahwini kerana empat perkara iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama kerana ia lebih menguntungkan kamu (lebih utama)."

Setelah berkahwin dan dikurniakan anak, mereka (ibu-bapa) seharusnyalah mengambil berat pendidikan anak demi memastikan kehidupan mereka sentiasa berada dalam keredaan dan pemeliharaan Allah.

Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani anak berteraskan nilai baik dan terpuji bertujuan melahirkan insan rabbani yang beriman, bertakwa dan beramal salih. Sehubungan itu jadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber pendidikan anak kita.


Falsafah pendidikan Islam menekankan aspek rohani dan jasmani sesuai dengan fitrah (kejadian) manusia itu sendiri yang terdiri daripada roh dan jasad. Ia membabitkan beberapa peringkat bermula dari dalam kandungan sehingga lahir dan menjadi dewasa.

Sebelum anak yang dikandung itu lahir, ibu-bapa perlu menyediakan tempat sesuai untuk mengasuh dan membesarkan anak. Ini bermakna dunia pertama seorang kanak-kanak adalah rumah ibu-bapanya sendiri., Ibu-bapa perlu membentuk suasana yang harmoni dan bercirikan keIslaman dalam kehidupan berumahtangga bagi memastikan kesempurnaan dalam pendidikan anak. Ia patut dilakukan sejak di awal perkahwinan lagi.


Apabila setiap suami-isteri menghayati dan mempraktikkan nilai keIslaman dalam kehidupan keluarganya, mudahlah mereka mendidik anak dengan benih ajaran Islam. Sebaliknya, jika mereka gagal menerapkan nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumah tangga, akan sukarlah (bermasalah) pasangan itu untuk mentarbiah anak mereka mengikut acuan dan budaya hidup Islam. []

No comments: