...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Friday, July 3, 2009

1.1. Mulanya Luak Ini Dipanggil Jelebu

Tanah Jelebu itu sebenarnya satu sahaja... tak ada yang lain. Tapi disebabkan ramai orang pandai dan banyak hikayat direkacipta... maka ada macam-macam versi Jelebu yang timbul dari satu mulut ke satu mulut. Ada juga yang terbit dalam bentuk teks bertulis di dada akhbar, di perut majalah dan juga dibukukan sebagai jurnal akademik. Macam cendawan kukur tumbuh merutup di kayu getah mati lepas hujan. Tak tau nak pilih yang mana satu. Banyak sangat!

Saya bawakan di sini salah satu versi yang dianggap asli. Beginilah ceritanya:

Luak (daerah) bertuah ini mulanya dikenali sebagai Sungai Lumut. Nama Jelebu ini datang kemudian, bermula daripada kisah Biduanda-Biduanda Jakun yang berasal dari tempat bernama Batang Labu (kini Labu) di Semujong (Daerah Seremban), datang membawa benih labu ke Sungai Lumut.

Setelah beberapa hari perjalanan, apabila sampai di Ulu Teriang hari telah malam. Ketika bersiap-siap untuk tidur, Biduanda-Biduanda Jakun nampak bintang di langit sangat banyak. Beribu juta. Itu tandanya kalau mereka bertanam labu tentu menjadi!

Esoknya benih labu itu pun ditanam oleh Biduanda-Biduanda Jakun itu di sekitar tebing Sungai Teriang dan didapati sangat subur hidupnya. Menjalarlah pokok labu yang ditanam itu memenuhi kawasan tersebut. Tiba masanya labu itu rajin berbunga, seterusnya berputik dan bila berbuah, buahnya pun sangat banyak.

Sedar dengan keadaan tersebut, Biduanda-Biduanda Jakun itu bermuafakat lalu mengubah nama tempat itu sebagai JALAR LABU, mengambil sempena tuah labu yang tumbuh di situ. Lama kelamaan sebutan Jalar Labu itu bertukar menjadi JELEBU. Demikianlah mulanya nama tanah Jelebu itu.

*******************************************************************************
Nota Kaki: Biduanda (orang bergelar/berkedudukan) Jakun ialah kaum bumiputra di Malaysia dari suku-bangsa Melayu-Proto. Lima lagi pecahan suku-bangsa ini ialah Orang Kuala, Temuan, Semelai, Seletar dan Kanaq.

No comments: