Akhlak yang elok dibentuk sejak dari awal kejadian lagi. Ibu bapa memainkan peranan masing-masing membentuk akhlak yang baik dalam diri anak-anak. Sebenarnya, mendidik anak-anak jadi seorang yang mempunyai akhlak yang baik bermula sebelum berkahwin lagi. Seorang lelaki mesti cari seorang calon isteri yang solehah, begitu juga sebaliknya. Asas agama yang kukuh pada suami dan isteri, insyaAllah akan terbentuklah keluarga yang diberkati Allah.
Isteri itu amanah Allah kepada suami. Mari ikuti satu kisah di zaman para sahabat:
Ada seorang sahabat tidak tahan dengan perangai isterinya yang suka berleter. Dia ingin meminta nasihat daripada Saidina Umar berkenaan perkara tersebut. Ketika dia sampai di hadapan rumah Saidina Umar, dia terdengar isteri Saidina Umar sedang berleter pada Saidina Umar. Lalu sahabat tersebut membatalkan hasratnya untuk bertemu dengan Saidina Umar sebab perkara yang sama turut berlaku pada Saidina Umar. Tapi Saidina Umar ternampak sahabat ni, dipanggilnya sahabat tersebut dan bertanyakan tujuan kedatangannya. Kata sahabat tersebut, "Sebenarnya wahai Amirul Mukminin, aku mahu meminta nasihat darimu tentang isteriku yang sangat suka berleter tapi apabila aku sampai ke rumahmu, aku dapati perkara yang sama berlaku ke atasmu. Lantas aku batalkan niatku untuk mendapatkan nasihatmu." Jawab Saidina Umar, "Wahai sahabat, isteri adalah amanah Allah. Isteriku terlalu banyak kelebihannya. Dia telah memasak makanan untukku, membasuhkan pakaian untukku dan dialah juga yang menyusukan anakku sedangkan itu semua bukanlah kewajipannya. Akulah yang sepatutnya memasak, membasuh, dan aku jugalah yang sepatutnya mencari orang untuk menyusukan anakku. Disebabkan kelebihannya yang banyak itulah, maka aku sabarkan diriku terhadap kelemahan dirinya yang satu itu (berleter)."
Urusan mendidik anak-anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa. Ia adalah tanggung jawab yang penting dan berat untuk dilaksanakan. Memang benar, menghasilkan berpuluh-puluh kereta lebih mudah daripada menghasilkan generasi soleh-solehah dengan keadaan masyarakat yang haru-biru sekarang ni. Kadang-kadang, anak-anak rosak disebabkan masyarakat sekeliling. Sebab itu setiap Muslim memainkan peranan dalam membentuk masyarakat yang baik seterusnya membentuk sebuah negara Islam.
Anak-anak harus dididik untuk memberi sumbangan pada Islam, biasakan mereka dengan pakaian-pakaian menutup susuk tubuh (anak lelaki dibiasakan pakai seluar panjang dan berkopiah, anak perempuan dibiasakan dengan pemakaian tudung) agar mereka biasa dengan pakaian-pakaian yang menutupi seluruh tubuh badan, cenderungkan anak-anak ke arah membuat perkara kebaikan dan sekat mereka buat perkara-perkara jahat. Tapi, kalau pun hendak mendenda anak-anak atas kesalahan mereka, biarlah berhemah dan munasabah. Jangan terlalu berkasar dengan mereka sampai lebam-lebam dan luka-luka di badan.
Dan jangan pula disayang secara berlebihan dan jangan diajar mereka hidup mewah. Ajar anak-anak jadi sederhana, jadikan mereka seorang yang berani, pemurah dan jadikan mereka seorang mujahideen. Kawal juga TV...pilih siaran yang bermanfaat untuk ditonton. Dan pastikan juga makanan yang diberi pada anak-anak dan isteri adalah halal dan daripada sumber yang halal. "We are what we eat..." []
DALAM HATI ADA ALLAH
10 years ago
No comments:
Post a Comment