...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Wednesday, July 29, 2009

2.1. Menemui Tempat Keramat Kuala Dulang

Batin Etah salah seorang daripada waris Biduanda-Biduanda Jakun tanah Jelebu sangat kacak lagi perkasa orangnya. Beliau telah mengembara mencari pengalaman hidup hingga sampai di Pagar Ruyung. Di tanah Minangkabau ini dia bertemu jodoh dan mendapat seorang anak lelaki dinamakan Batin Terjali. Setelah remaja Batin Terjali balik ke Bukit Kundik, tanah Jelebu diiringi seorang kerabat raja Minangkabau bernama Sultan Alif.

Batin Terjali ada seorang anak lelaki bernama Lambung Setia Raja. Lambung Setia Raja ini sangat asyik (berminat) belajar ilmu pawang dan pernah berguru dengan segala pawang yang ada di tanah Jelebu dan juga di jajahan negeri Pahang yang bersempadan dengan tanah Jelebu. Setelah ilmunya cukup Lambung Setia Raja pun menjadi Pawang Besar di tanah Jelebu.

Sultan Alif pula mempunyai seorang anak lelaki bernama Shah Alam Raja Sehari yang handal dalam ilmu tetemeh; iaitu ilmu tilik yang diwarisi dari Pagar Ruyung, tanah Minangkabau.

Memikirkan dirinya telah berusia lanjut, Batin Terjali dan Sultan Alif mengadakan rundingan di Gunung Pertemuan. Dalam rundingan itu Batin Terjali dan Sultan Alif bersepakat melantik Lambung Setia Raja anak Batin Terjali menjadi Batin (Raja yang memerintah) dan Shah Alam Raja Sehari anak Sultan Alif menjadi menterinya (penasihat Raja yang memerintah). Keputusan rundingan ini pun disebarkan kepada kaum asli yang tinggal di sekitar Gunung Pertemuan itu.

Setelah menyandang jawatan yang dilantik, mereka berdua diperintah turun daripada Gunung Pertemuan. Batin Terjali dan Sultan Alif berpesan kepada anak mereka berdua: barang di mana mereka bertemu dengan nasi sedulang di situlah mereka kena meneroka tempat kediaman dan nasi sedulang itu hendaklah mereka berdua makan.

Setelah mendengar pesanan ayahnya itu Batin muda Lambung Setia Raja dan Menterinya Syah Alam Raja Sehari pun turun dari Gunung Pertemuan lalu mengembara untuk membuka negeri. Mereka berdua tiba di sebuah bukit bernama Bukit Buaian. Di kaki Bukit Buaian itu, di atas tebing kuala sungai mereka terjumpa sedulang nasi yang menunggu kedatangan mereka.

Kedua-duanya pun bekerjalah meneroka tempat di tebing kuala sungai itu menurut amanah ayah mereka (Batin tua dan Menteri tua). Setelah penat bekerja mereka pun makan nasi sedulang itu. Tempat itu terus dinamakan Kuala Dulang yang dianggap kawasan keramat di tanah Jelebu ini. []

No comments: