Hari Raya Aidilfitri bakal disambut pada 20 September 2009 bersamaan 1 Syawal 1430 Hijrah oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia menandakan berakhirnya bulan Ramadhan setelah umat Islam menjalani ibadat puasa dengan tekun dan sabar selama sebulan.
Hari Raya Puasa ditetapkan jatuhnya melalui dua cara; (a) rukyah dengan melihat munculnya anak bulan dilangit dunia ataupun (b) secara hisab (kiraan). Sekiranya melalui rukyah, apabila anak bulan kelihatan, tandanya bermulalah bulan Syawal.
Munculnya 1 Syawal maka berakhirlah tempoh untuk membayar zakat fitrah iaitu zakat yang dikenakan kepada mereka yang masih hidup pada tahun itu. Orang Islam mula membayar zakat fitrah semenjak 1 Ramadhan bermula dan akan berakhir tempohnya untuk tahun tersebut apabila solat sunat Aidilfitri dimulakan.
Setelah tarikh Hari Raya ditentukan, umat Islam akan bertakbir dan bertahmid sambil memuji kebesaran Allah. Tempoh bertakbir bagi Hari Raya Aidilfitri bermula bila terbenamnya matahari (hari terakhir bulan Ramadan) sehingga solat sunat Hari Raya Aidilfitri bermula pada pagi 1 Syawal tahun Hijrah. Hari raya disambut untuk sepanjang bulan Syawal.
Pada Hari Raya Aidilfitri orang ramai melakukan amalan berziarah, bertepatan dengan suruhan agama Islam. Setelah menunaikan solat sunat hari raya umat Islam akan mengunjungi pusara keluarga dan kerabat terdekat mereka yang telah berpulang ke Rahmatullah, untuk menabur bunga dan air mawar serta menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan yang masih hidup pula. Mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Asasnya, hari raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan serta hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah sepanjang bulan Ramadhan kepada Allah SWT.
Amalan memberi wang (duit raya) kepada kanak-kanak juga kini popular di hari raya. Sampul duit raya sebenarnya diadaptasi daripada amalan orang Cina yang memberi sampul merah berisi wang ataupun "Ang Pau". Pada Hari Raya, sampul duit raya berwarna selain daripada warna merah, biasanya dikeluarkan oleh bank-bank dan syarikat-syarikat perniagaan, antaranya saiz yang bersesuaian dengan saiz wang kertas polimer RM1, RM5 dan RM10. Kadangkala amalan pemberian Duit Raya diganti dengan pemberian hadiah-hadiah dan cenderamata.
Rumah-rumah terbuka pula adalah trend terkini cara sambutan Hari Raya. Kemeriahan Aidilfitri selalunya akan berpanjangan sehingga sebulan, bermula dengan kemeriahan di kampung-kampung dan akan berpindah sendirinya apabila semua orang pulang ke bandar setelah cuti tamat.
Baju Melayu, kurung dan kebaya labuh adalah pakaian tradisi kaum Melayu yang dipakai pada hari raya. Pakaian lelaki dilengkapi dengan songkok di kepala dan kain samping songket di bahagian pinggang. Pakaian wanita paling klasik ialah baju kurung dan kebaya labuh dilengkapi selendang dan kerongsang. Kini pemakaian baju batik, songket dan kebaya nyonya (kebaya pendek) juga semakin memeriahkan hari raya.
KEBERKATAN AIDILFITRI (1 SYAWAL)
Sebelum merayakan Aidilfitri, kita diwajibkan membayar zakat fitrah dalam tempoh masa sebulan berpuasa di bulan Ramadhan.
Di hari mulia 1 Syawal yang bakal tiba ini, umat Islam disunatkan (amat digalakkan) untuk mandi sunat hari raya. Memakai pakaian terbaik yang ada (menurut kemampuan) dan tiada pembaziran dibenarkan. Tidak dibenarkan menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat yang memang diharamkan di dalam Islam).
Setelah siap berpakaian maka jamahlah makanan. Sebelum keluar rumah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri berlututlah memohon ampun dan maaf kepada kedua ibubapa (yang masih hidup) dan saudara yang lebih tua dalam keluarga kita sendiri.
Memperbanyakkan Takbir, mengucapkan salam dan mendoakan antara satu sama lain. Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) serta berziarah dan merapatkan silaturrahim sesama Muslim. []
DALAM HATI ADA ALLAH
10 years ago
No comments:
Post a Comment