Aidilfitri kini sinonim dengan "open house". Tanyalah sesiapa sahaja, pasti mereka mengakui nak buat "rumah terbuka" dan juga menerima banyak jemputan ke rumah terbuka yang terpaksa dipenuhi sepanjang bulan Syawal.
Anak-anak kita adalah orang yang paling gembira. Satu hari sampai sepuluh jemputan dirayu untuk kita penuhi. Pendek kata, keluar pagi, malam baru balik rumah. Paling lucu mereka telah membuat kiraan matematik: RM10.00 x 10 rumah terbuka = RM100.00. Macam-macam!
Jangan kata di bandar sahaja orang buat acara rumah terbuka, di kampung pun sudah ada dibuat orang sekarang. Terbayang semula ke zaman kanak-kanak dahulu, semua rumah orang Melayu sememangnya sentiasa terbuka untuk dikunjungi pada Aidilfitri. Sebabnya mudah, kalau dah raya ertinya rumah memanglah akan dibuka senantiasa untuk sesiapa saja bertandang. Dari siang ke malam tuan rumah akan menunggu saudara mara, kenalan dan jiran-tetangga dengan perasaan penuh riang-ria.
Budaya kunjung-mengunjungi yang diwarisi dari nenek-moyang ini begitu murni. Akan berbesar hati orang yang menunggu bila rumah mereka dikunjungi tetamu. Akan terhutang budi pula orang yang bertandang bila dilayan penuh mesra oleh tuan empunya rumah. Kini zaman memang sudah berubah. Rumah yang terbuka secara klasik sepanjang masa pada Hari Raya kini kurang minat dikunjungi. Adakalanya saudara yang kadim (paling hampir) pun tidak datang menjenguk. Mereka lebih berminat jalan jauh dengan berkereta atau hanya ‘bergolek-golek’ depan televisyen sambil mengunyah kuih raya sesama sendiri.
Kalau ke majlis Rumah Terbuka pula, lazimnya akan hadir. Maklumlah ia dianjurkan oleh tuan punya rumah dari orang berkedudukan, syarikat-syarikat korporat terkemuka, orang politik dan sebagainya. Tempat yang dipilih untuk acara tersebut pula adalah dewan-dewan besar atau hotel-hotel. Konsepnya mestilah ‘By invitation’. Siapa yang diundangan sahaja tersenarai sebagai tetamu. Tiada kad, tidak boleh makan.
Mengenang ini semua saya menghela nafas panjang…. []
DALAM HATI ADA ALLAH
10 years ago
No comments:
Post a Comment