...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Monday, July 14, 2008

Pendidikan Sebelum Kelahiran


Sebenarnya tarbiah (pendidikan) anak-anak bermula seawal bayi berada dalam kandungan ibunya. Waktu ini tarbiah lebih bercorak kerohanian seperti memperbanyakkan bacaan al-Quran dan berdoa kepada Allah.


Surah pilihan seperti surah Yusuf, Maryam, Luqman dan At-Taubah mengandungi pelbagai kelebihan, khasiat dan doa tersirat, yang apabila dibaca akan membantu dalam pentarbiahan anak.


Perbanyakkan doa kepada Allah agar anak yang dikandung itu nanti akan lahir menjadi seorang anak yang salih, berilmu, beriman, berakhlak mulia dan taat kepada kedua orang tuanya. Doa ini penting dalam memastikan keluarga yang dibentuk sentiasa mendapat rahmat dan keberkatan Allah.

Seterusnya pastikan rezeki yang diperolehi datang daripada sumber yang halal dan bersih agar ia membentuk darah daging yang halal lagi berkat. Ia penting pada pembentukan dan pertumbuhan anak yang bakal dilahirkan. Ia juga memberi kesan kepada pembentukan peribadi anak apabila besar kelak.


Untuk menjamin kesihatan anak dalam kandungan, ibu hamil perlu memakan makanan berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Islam menitik beratkan kesihatan ibu mengandung yang sudah tentunya menghadapi pelbagai kesukaran dan kepayahan. Ini terbukti dengan kelonggaran yang diberikan Islam untuk ibu mengandung berbuka puasa (pada Ramadan) sekiranya berasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.

Semasa mengandung juga, ibu perlu menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku pada dirinya seperti mengalami kehilangan selera makan, mudah sensitif dan berdebar. Suami hendaklah lebih memahami keadaan isteri dengan sentiasa berada di sisi dan memberi dorongan kuat kepadanya.

1 comment:

Anonymous said...

Semoga tulisan sahabat dapat memberi faedah kepada kita. Agar anak yang dilahirkan kelak memiliki jiwa yang soleh, senantiasa bertakwa kepada ALLAH SWT.