...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Friday, February 12, 2010

Kung Hey Fatt Choy - ikhlas dari saya untuk rakan-rakan Cina

MUSIM untuk melafazkan kata-kata ‘Kung Hey Fatt Choy’ (Selamat Tahun Baru Cina) dan ‘Wan Shi Ru Yi’ (segala urusan berjalan lancar) kini kembali lagi. Ke mana sahaja anda pergi, ucapan berkenaan kian bergema. Ini bermakna, bermulalah sambutan Tahun Baru Cina yang akan berlangsung selama 15 hari bermula 14 Februari 2010.

Hari ini, Jumaat 12 Februari 2010, selepas habis kerja, saya bersama keluarga akan bersiap-siap untuk balik kampong di Jelebu Negeri Sembilan. Dan pada 14 Februari 2010, saya akan berkunjung ke rumah rakan-rakan Cina saya di Cempedak, Petaling, Kuala Klawang dan Titi dalam Daerah Jelebu Negeri Sembilan. Juga akan berkunjung ke Seremban, ke rumah rakan-rakan Cina saya yang sama-sama menuntut di Seremban sekitar tahun 1979-1980 .

Sungguhpun proses globalisasi dan pembangunan pesat kini melanda Malaysia, namun ia tidak menghalang masyarakat Cina di Malaysia merayakan kedatangan Tahun Baru Cina dengan penuh tradisi. Hakikatnya bagi mereka, semangat dan tradisi Tahun Baru Cina perlu dipertahankan kerana tradisi inilah yang membentuk keperibadian mereka.

Memang kita di Malaysia sudah mengenali erti sebenar kata-kata ‘Kung Hey Fatt Choy’ ataupun kenapa Tahun Baru Cina dirayakan, saya juga makin faham selok-belok sambutan ini, signifikan dan pantang-larang yang diamalkan oleh masyarakat Cina, maklumlah saya punya ramai rakan-rakan Cina.

Sebenarnya, sambutan Tahun Baru Cina ditetapkan menerusi penggunaan kalender bulan. Kalender bulan dilaporkan diperkenalkan seawal tahun 2600 Sebelum Masihi apabila maharaja China ketika itu, Shi Huang Ti memperkenalkan kitaran pertama zodiak. Tahun-tahun disusun dalam satu kitaran utama selama 60 tahun merangkumi lima pusingan dan setiap tahun berkenaan akan dinamakan dengan nama 12 ekor haiwan. Kesemua 12haiwan yang dimaksudkan ialah tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan babi. Proses terbabit akan diulang berkali-kali hinggalah kitaran tahun melengkapkan pusingannya.

Mengapa hanya 12 haiwan dipilih dan tidak lebih daripada itu? Mengikut legenda Cina, Buddha telah memanggil semua haiwan di muka bumi ini untuk bertemu dengan-Nya sebelum beliau meninggalkan bumi. Namun hanya 12 haiwan yang hadir untuk bertemu dengan Buddha. Terhutang budi dengan haiwan-haiwan yang hadir, maka Buddha telah menetapkan setiap tahun dengan 12 ekor haiwan mengikut turutan ketibaan mereka.

Disebabkan kalender bulan pada sesuatu tahun kadang-kala mempunyai 29 atau 30 hari setiap bulan, maka sukar untuk masyarakat Cina menentukan tarikh tetap untuk sambutan Tahun Baru Cina dari tahun ke tahun, Tahun Baru Cina pada 2010 telah jatuh pada 14 Februari. Massyarakat Cina percaya inilah masa untuk memperbaharui tenaga, harapan dan impian mereka dan sekiranya tahun sebelumnya tidak berjalan seperti yang dirancang, maka kedatangan tahun baru ini diharap akan membawa perubahan yang lebih positif.

Rakan-rakan Cina saya mengatakan persiapan untuk menyambut ketibaan tahun baru biasanya sebulan lebih awal. Ia merangkumi pembelian baju-baju baru, barangan hiasan dan tidak ketinggalan, bahan-bahan makanan. Biasanya, sudah menjadi kemestian untuk pemilik rumah mengemas dan menghiasi kediaman mereka dengan tanglung merah, sepanduk, mercun plastik, tulisan kaligrafi yang memaparkan tema kegembiraan, kemakmuran dan kekayaan serta kad-kad ucapan yang dikirim oleh rakan taulan.

Benda-benda yang dilihat boleh menimbulkan nasib malang seperti penyapu, berus dan tong sampah akan disimpan kerana bimbang menyebabkan tuah akan hilang begitu sahaja. Jika aktiviti menyapu dilakukan, ia perlulah terhad di dalam rumah di mana debu dan sampah-sarap hanya akan disapu dan diletakkan ke bahagian tengah rumah sebelum dialihkan ke bahagian penjuru. Biasanya, longgokan sampah hanya boleh dibuang dua atau tiga hari selepas Tahun Baru Cina.

Menurut rakan Cina saya, acara paling penting pada malam sebelum Tahun Baru Cina ialah makan besar kerana semua anggota keluarga jauh mahupun dekat, akan kembali untuk mengeratkan talian perhubungan sesama keluarga di samping menikmati juadah-juadah lazat seperti ayam, ikan, itik, sup sirip ikan yu dan sayur-sayuran kemakmuran (prosperity vegetables).

Seterusnya, kesemua anggota keluarga digalakkan berjaga sehingga awal pagi sebagai mematuhi ‘shou sui’ yang boleh membawa panjang umur kepada kedua ibu bapa. Pada yang suka berjudi, mereka memanfaatkan kesempatan ini untuk bermain mahjung.

Hari pertama Tahun Baru Cina akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengalu-alukan kedatangan tuhan-tuhan dari syurga dan bumi. Juga untuk melakukan kunjungan terhadap anggota paling tua dalam keluarga.

Pada hari kedua pula, menantu perempuan akan balik kampong untuk menziarahi ibu-bapa mereka sebab setelah berkahwin mereka tidak berpeluang menziarah keluarganya sendiri. Sepanjang hari kedua juga, masyarakat Cina turut menghantar doa kepada nenek moyang dan tuhan-tuhan sebagai tanda terima kasih di atas berkat yang diterima selama ini.

Di hari ketiga dan keempat pula masa untuk menantu lelaki memberikan penghormatan kepada ibu bapa mentua. Di hari pertama hingga ke empat, kebanyakan perniagaan yang dimiliki oleh orang Cina masih ditutup. Operasi perniagaan hanya akan dibuka semula pada hari kelima atau keenam.

Perayaan Chap Goh Meh pada hari ke-15 adalah sambutan terakhir Tahun Baru Cina, yang mana hari tersebut akan diperingati dengan memakan ‘tangyuan’ (sweet rice ball dumpling soup). Chap Goh Meh juga dirayakan sebagai festival Tanglung ataupun Hari Kekasih.

Tanpa pemberian angpau, mercun dan tarian singa maka sambutan Tahun Baru Cina tentu tidak lengkap. Sampul merah dan angpau berasal dari loghat Hokkien itu hanya diberi oleh pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga kepada mereka yang belum berkahwin. Mercun dalam Tahun Baru Cina pula signifikan kerana bunyi bising yang dihasilkan dan warna merah pada mercun berupaya menakutkan seekor raksasa dipanggil ‘Nian’ yakni sejenis raksasa yang memakan manusia.

Kepada semua masyarakat Cina di Malaysia, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Kong Hey Fatt Choy. Moga-moga ia akan membawa lebih banyak kemakmuran dan kebahagiaan.

No comments: