...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Thursday, July 23, 2009

a4. Mentarbiah Anak Ada Caranya


Rasulullah mengingatkan lelaki yang ingin berkahwin supaya membuat pilihan tepat iaitu memilih perempuan yang mempunyai pegangan agama, seterusnya diikuti kriteria paras rupa, keturunan dan harta.

Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Abu Daud; Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: "Wanita dikahwini kerana empat perkara iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama kerana ia lebih menguntungkan kamu (lebih utama)."

Setelah berkahwin dan dikurniakan anak, mereka (ibu-bapa) seharusnyalah mengambil berat pendidikan anak demi memastikan kehidupan mereka sentiasa berada dalam keredaan dan pemeliharaan Allah.

Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani anak berteraskan nilai baik dan terpuji bertujuan melahirkan insan rabbani yang beriman, bertakwa dan beramal salih. Sehubungan itu jadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber pendidikan anak kita.


Falsafah pendidikan Islam menekankan aspek rohani dan jasmani sesuai dengan fitrah (kejadian) manusia itu sendiri yang terdiri daripada roh dan jasad. Ia membabitkan beberapa peringkat bermula dari dalam kandungan sehingga lahir dan menjadi dewasa.

Sebelum anak yang dikandung itu lahir, ibu-bapa perlu menyediakan tempat sesuai untuk mengasuh dan membesarkan anak. Ini bermakna dunia pertama seorang kanak-kanak adalah rumah ibu-bapanya sendiri., Ibu-bapa perlu membentuk suasana yang harmoni dan bercirikan keIslaman dalam kehidupan berumahtangga bagi memastikan kesempurnaan dalam pendidikan anak. Ia patut dilakukan sejak di awal perkahwinan lagi.


Apabila setiap suami-isteri menghayati dan mempraktikkan nilai keIslaman dalam kehidupan keluarganya, mudahlah mereka mendidik anak dengan benih ajaran Islam. Sebaliknya, jika mereka gagal menerapkan nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumah tangga, akan sukarlah (bermasalah) pasangan itu untuk mentarbiah anak mereka mengikut acuan dan budaya hidup Islam. []

Monday, July 20, 2009

Iktikad Ahli Sunnah Waljamaah - panduan pastikan akidah kita benar dan selamat...


Buku ketiga yang saya bawa ke sini ialah IKTIKAD AHLI SUNNAH WALJAMAAH terbitan tahun 2000.

Buku yang diusahakan oleh Mustaffa Suhaimi ini menginsafkan kita betapa umat Islam yang jahil lebih ramai daripada yang alim menyumbang ke arah perpecahan umat Islam. Sikap fanatik atau ekstrem pengikut mahzab yang menganggap mahzab ikutan mereka sahaja yang benar dan pengikut mahzab lain semua sesat dan batil menyemarakkan lagi perpecahan ini!

Buku ini menjelaskan dengan terperinci sejarah perkembangan mazhab dalam konteks mazhab akidah dan susur galur yang membawa kepada timbulnya berbagai-bagai mazhab yang berlaku sejak abad ke-2 Hijrah hingga kini, menjadikan perpecahan sejumlah 73 firqah Umat Nabi Muhammad SAW.

Patutlah umat Islam lemah. Diibaratkan satu bilah lidi daripada seikat penyapu dibuat daripada berpuluh-puluh bilah lidi kelapa boleh dipatah sesuka hati dengan mudah oleh sesiapa sahaja, kerana ikatan penyapu lidi itu telah terburai, kekukuhan dan fungsinya telah tiada, dan lidi-lidi penyapu itu berserakan menjadi sampah yang tidak berguna!

[]

Thursday, July 16, 2009

STATUS DIRI: Bahasa Tentukan Kita Orang Berbangsa Dan Bertamaddun

Sejarah telah membuktikan bahasa menjadi lambang peradaban suatu bangsa dan tamaddun dunia. Hanya bahasa yang membezakan sesuatu bangsa. Jika bahasa nenek moyang (bahasa ibunda) dipinggirkan alamat akan NAIF bangsa terbabit, sekali gus menjuruskan bangsa dan budayanya ke lembah kejahilan. Inilah petanda satu bangsa gelap(bangsa menumpang). Kalau ia umpama pokok sama macam POKOK DEDALU MENUMPANG DI PERDU ORANG!

Bangsa menumpang ini hina sangat.

Tanyalah diri anda (A) “SAYA BANGSA APA?”.
Tanyalah lagi (B) “SAYA SANGAT BANGGA MENGGUNAKAN BAHASA APA?”

Jika jawapan anda ialah: (A) = (B) tandanya anda orang berbangsa, mempunyai peradaban dan tamaddun yang unggul.

Jika jawapan anda ialah (A) bukan (B) tandanya anda bangsa menumpang. Anda tiada peradaban dan tamaddun.

Sekarang anda sendiri sudah tahu status diri anda.[]

1.2. Labu tu istimewa pada orang Jelebu..

Bila abah tak kerja, saya selalu juga mengikutnya ke Kampung Mengkan rumah Wan Ngah Munah. Ini sekitar tahun 1969-1970an.

Sebenarnya Wan Ngah ini ialah isteri pertama kepada Tok Ngah saya; Y.A.M. Dato’ Mendika Mentri Akhir Zaman ul-Zaman Almarhum Dato’ Shahmar ud-Din bin Haji Abdul Rahman, Undang Luak Jelebu ke-13 dari Waris Kemin. Almarhum Tok Ngah memerintah Jelebu dari tahun 1945 hingga tahun 1962. Kata Wan Ngah, Almarhum Tok Ngah meninggal masa umur saya belum cukup setahun lagi. Sedih juga rasanya sebab saya tak sempat menyaksikan zaman kegemilangan Tok Ngah saya memerintah tanah Jelebu.

Isteri kedua Tok Ngah bernama Wan Taksiah tinggal di Ipoh, Perak. Rupanya ada juga kaum kerabat saya di Perak, tapi tak kenal langsung.....

Di rumah Wan Ngah keadaannya sunyi saja. Semua anaknya Cik Daud, Cik Derani, Cik Limah, Cik Deraman, Cik Siti dan Cik Adi tiada di rumah, sama ada sudah berkeluarga sendiri atau bekerja. Ibu Ros anakandanya yang bongsu belajar di institusi pengajian tinggi katanya.

Saya masih ingat, suatu hari dia bercerita tentang labu. Katanya labu ini adalah buah yang sangat istimewa pada orang Jelebu. Sejak dulu-dulu lagi setiap rumah orang Jelebu mesti ada menyimpan buah labu. Orang tu bukanlah anak Jelebu kalau tak kenal labu! Setiap orang Jelebu mesti tau tentang labu ni.

Katanya untuk menjadikan buah labu tahan lama, biarkan saja buah labu itu masak di batangnya. Tunggu sampai semua batang-batang labu itu telah mati, baru boleh dikutip buahnya. Buah labu yang dikutip itu dibersihkan, barulah boleh disimpan di dalam kepok (setor tempat menyimpan barang-barang).


Katanya buah labu ini sesuai dimakan oleh semua orang, baik kanak-kanak mau pun orang dewasa. Labu baik untuk kesihatan dan tak pernah ada orang Jelebu sakit dan mati sebab makan labu.

Katanya lagi labu ni banyak memberi pertolongan pada masa dharurat dan masa orang Jelebu dalam kesusahan. Kalau nak makan nasi tak ada lauk, labu pun boleh dibuat lauk. Orang Jelebu suka makan nasi dengan gulai masak lemak labu, pilih saja nak masak lemak manis ke nak masak lemak pedas.

Saya ingat lagi, hari itu Wan Ngah masak gulai labu lemak manis, dengan sambal tumis ikan bilis dan ikan baung sungai Kenaboi goreng berlada. Saya hanya makan nasi berlauk gulai labu lemak manis. Masakan Wan Ngah memang sedap.

Masa balik saya minta buah labu dari Wan Ngah. Saya kata nak suruh mak masak gulai labu lagi… sedap sangat! Wan Ngah hanya mengusap-usap ubun-ubun saya… []

Wednesday, July 15, 2009

a3. Kekuatan Akidah Anak

Kewujudan Allah SWT sepatutnya terang dan nyata dalam kehidupan anak kita. Pastikan dalam jiwanya wujud rasa dilihat, didengar dan diperhati oleh Allah SWT. Hal ini harus mula ditanamkan dalam diri anak sejak kecil lagi. Mengenal Allah SWT sebagai Penguasa yang memiliki nama yang indah dan sifat yang hebat akan mempengaruhi jiwanya yang bersih dan suci, perasaannya sebagai hamba, bukan perasaan sebagai tuan dan bukan pula ada sikap penderhaka.

Mungkin pengalaman saya ini boleh kita kongsi bersama:

Selepas waktu pejabat, dari Putrajaya saya memandu menghala ke taska tempat transit anak saya di AU2 Keramat, Kuala Lumpur, Malaysia. Anak saya datang dengan dengan wajah ceria sambil mengunyah sesuatu.

Dikno makan kek. Ayah nak ke?

Ayah tak nak sayang. Dikno habiskan saja la..

Sambil anakku mengunyah kek tu saya tanya tentang sekolahnya.

Hari ini Dikno belajar apa sayang?

Ayah, hari ini Ustaz tak mengajar, Ustaz bercerita je.

Cerita apa?

Kisah di sebuah masjid la ayah.

Ceritalah pada ayah, ayah nak tahu juga sayang..

Ok ayah,
Satu hari seorang lelaki, umur macam ayah ni la masuk ke dalam sebuah masjid yang sunyi. Ustaz kata pakcik tu mahu bermunajat pada Allah SWT. Masa dalam masjid Pakcik tu nampak seorang budak berumur kira-kira 11 tahun duduk di sebelah tiang masjid sedang berdoa sambil mengalir air matanya.

Budak tu sebaya Dikno ye sayang?

Ye la ayah. Pakcik tu datang dekat budak tu dan bertanya: "Wahai budak kecil, siapakah kamu?" Budak tu menjawab: "Saya yatim piatu." Pakcik tu bertanya lagi: "Mahukah kamu menjadi anakku?" Budak tu menjawab: "Jika aku lapar mahukah kamu memberiku makan? Dan jika aku tidak memiliki baju bolehkah pula kamu membelikannya untukku?

Ustaz kata pakcik tu tersenyum menandakan setuju. Tetapi ayah, ada lagi satu permintaan budak tu: "Jika aku sakit dapatkah kamu sembuhkan diriku?" Pakcik tu berkata: "Tidak wahai anakku, aku tidak sanggup." Budak tu bertanya lagi: "Apakah kamu dapat menghidupkanku apabila aku mati? Ustaz kata pakcik tu menggelengkan kepalanya.

Ayah, kata budak tu lagi: "Kalau demikian, biarlah aku bergantung kepada Zat Yang Menciptakan aku. Dialah Allah yang memberiku petunjuk, memberi makan dan minumku. Jika aku sakit Dialah yang menyembuhkanku, Yang Mengampuni segala kesalahanku pada hari penghisaban nanti."

Oooo macam tu ceritanya ya sayang ayah. Apa yang Dikno faham tentang cerita tu?

Pakcik tu tak boleh hidupkan orang mati, betul ke ayah?

Betul. Ha hari ni Ustaz mengajar dengan bercerita la Dikno. Ustaz kata pakcik tu seorang manusia, tak boleh menghidupkan orang mati. Menghidup dan mematikan orang tu kerja Allah Taala. Dikno faham ha?

Ya ayah.

Selain menghidup dan mematikan manusia, Allah Taala juga melihat manusia. Apa yang kita buat sekarang ni dilihat, didengar dan diperhati oleh Allah Taala.

Macam tu ya ayah?

Budak yang ustaz cerita tu dah kenal dengan Allah. Allah sebagai Penguasa di dunia dan di akhirat. Dikno tahu tak? Allah tu memiliki nama yang indah dan sifat yang sangat hebat. Sifat Allah Taala tu la yang telah mempengaruhi jiwa budak tu sebagai hamba Allah.

Budak tu sangat bijak, dan pandai menggunakan akal fikiran.

Dikno pandai tak ayah?

Dikno pun pandai la sayang. Anak ayah... []

Tuesday, July 14, 2009

a2. Membentuk Kekuatan Akhlak Anak

Hadis al-Bukhari dan Muslim ada menyebutkan, antara tanda-tanda hari kiamat ialah ramai anak derhaka. Apakah ia terjadi kerana ramai ibu bapa moden tidak tahu mendidik anak? Memanglah manusia tak pernah sempurna, tetapi kita kena berusaha untuk menjadi sempurna.

Lama aku fikirkan.Anakku dilahirkan dengan potensi hebat yang menyerlahkan keperibadiannya. Seperti manusia lain, Allah membekalkan anakku dengan akal dan hati. Kedua-duanya adalah tenaga dalaman diperlukan untuk memproses perbuatan, tingkah laku dan gerak-gerinya.

Aku tahu akhlak manusia memang berkait rapat dengan hati dan akal. Jika sihat akal dan hati, maka sihat pula perangainya. Aku memerhati dan memantau anakku memproses segala rangsangan yang dilihat, didengar dan dirasa dari sekelilingnya.

Dalam meniti usia 12 tahun jelas kelihatan anakku mempunyai kemampuan untuk meniru apa-apa yang disukai. Sebagai ayah, menjadi tugas dan tanggungjawabku menyediakan persekitaran yang bebas daripada unsur negatif untuknya.

Aku sedar tanggungjawabku memberi asuhan dan tuntutan akhlak mahmudah kepada anakku. Hal ini bukan perkara yang mudah kerana ramai ibu-bapa dalam kalangan kawan-kawanku sendiri yang berpura-pura baik di hadapan anak sekadar memberi teladan.

Ada juga ibu bapa yang tak peduli dengan nilai yang dibawa masuk ke rumah sehingga anak mencontohi perkara negatif itu. Nasihat memang ada manfaatnya tetapi yang paling berkesan dalam mengajar anak berakhlak adalah dengan menunjukkan bagaimana cara melakukannya, beri teladan yang baik dan bersama-sama melakukannya.

Tidak timbul persoalan bermuka-muka dan percanggahan dalam mendidik anak kerana ia akan menyebabkan hilang kepercayaan anak kepada ibu bapa. []

Monday, July 13, 2009

Tertib Shalat: mendekatkan kita kepadaNya...


Malam tadi, Isnin 13/07/2009 saya membuka semula buku terbitan tahun 1987 oleh Hussein Badjerei ini.

Kandungan buku ini ada dua bahagian:

Bahagian 1 menyajikan petunjuk praktis tertib shalat secara jelas dengan bacaan yang baku, menurut Tatacara Shalat Rasulullah SAW. Sangat bagus untuk mereka yang ingin memeriksa apakah sembahyangnya sudah tertib atau belum.

Bahagian 2 pula adalah doa-doa dari kandungan Al-Quran koleksi Asy-Syaikh Mahmud Syaltut, Pengetua Universiti Al-Azhar. Doa-doa tersebut lengkap dengan teks terjemahan dalam bahasa Melayu.

Setelah memperbetulkan shalat maka berdoalah. Sesungguhnya doa akan sentiasa mendekatkan kita kepadaNya..