...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Monday, August 24, 2009

ISTIMEWA RAMADHAN - Rebutlah Ganjaran Empat Amalan Utama

Tentang kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan, ramai yang mengetahuinya berdasarkan kandungan Surah Al Baqarah:183 yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa."

Sebenarnya masih ramai ibu-bapa tidak tahu ada empat amalan utama yang digalakkan dalam bulan Ramadhan ini, harus diajar dan dilatih pada anak-anak kita.

1. Melazimkan bacaan kalimah taiyibah (laa ilaha illallah).
Jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya.

Abu Saeed Khudri R.A. meriwayatkan bahawa: "Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu melaluinya. Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut. Nabi Musa AS berkata: "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki yang khusus." Lalu Allah SWT menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada segala sesuatu."

2. Beristighfar (Istighfar yang mudah ialah Astaghfirullah)
Kita digalak untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan. Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini. Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul.

3. Memohon memasuki jannah (syurga).
Kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga. Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah
"Allahhumma as'alukal jannata wa a'uzubika minannar".

4. Berlindung dengan Allah SWT daripada neraka jahannam.
Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa meminta kepada Allah SWT menjauhkan kita daripada ancaman api neraka.

Dengan memperbanyakkan amalan di atas, maka akan bertambah banyaklah amal ibadah yang kita lakukan untuk memenuhi bulan Ramadhan ini. Ramadhanlah masanya yang paling sesuai untuk membimbing anak-anak memperbanyakkan ibadah lantaran tiadanya gangguan godaan daripada iblis dan syaitan.

Sebagai insan yang sentiasa mengharapkan kasih-sayang, perhatian dan ganjaran yang telah dijanjikan Allah SWT, maka sebagai hamba-Nya kita harus merebut peluang ini yang datang dalam bulan Ramadhan hanya sekali dalam setahun. Allah SWT memberi peluang untuk kita berkunjung ke syurga-Nya berbekalkan empat amalan utama yang digalakkan ini bersama-sama permata hati kita. []

No comments: