...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Monday, July 6, 2009

Fikih Sunnah 1: ruginya kalau tak baca



Semalam Ahad; 05/07/2009 saya mencari-cari semula buku tulisan Sayyid Sabiq ini. Kebetulan ada masa terluang elok juga mengulang baca.

Kandungan buku Fikih Sunnah ini membahaskan masalah-masalah Perundangan/Hukum Islam disertai dalil-dalil bersumber daripada Kitab Al-Quran dan Sunah Nabi Muhammad SAW yang sah, juga Ijma’ daripada Ummat Islam yang muktabar.

Kupasan yang sangat terperinci dalam buku ini dapat menghindari diri kita dari pertikaian tentang sesuatu isu.

Friday, July 3, 2009

1.1. Mulanya Luak Ini Dipanggil Jelebu

Tanah Jelebu itu sebenarnya satu sahaja... tak ada yang lain. Tapi disebabkan ramai orang pandai dan banyak hikayat direkacipta... maka ada macam-macam versi Jelebu yang timbul dari satu mulut ke satu mulut. Ada juga yang terbit dalam bentuk teks bertulis di dada akhbar, di perut majalah dan juga dibukukan sebagai jurnal akademik. Macam cendawan kukur tumbuh merutup di kayu getah mati lepas hujan. Tak tau nak pilih yang mana satu. Banyak sangat!

Saya bawakan di sini salah satu versi yang dianggap asli. Beginilah ceritanya:

Luak (daerah) bertuah ini mulanya dikenali sebagai Sungai Lumut. Nama Jelebu ini datang kemudian, bermula daripada kisah Biduanda-Biduanda Jakun yang berasal dari tempat bernama Batang Labu (kini Labu) di Semujong (Daerah Seremban), datang membawa benih labu ke Sungai Lumut.

Setelah beberapa hari perjalanan, apabila sampai di Ulu Teriang hari telah malam. Ketika bersiap-siap untuk tidur, Biduanda-Biduanda Jakun nampak bintang di langit sangat banyak. Beribu juta. Itu tandanya kalau mereka bertanam labu tentu menjadi!

Esoknya benih labu itu pun ditanam oleh Biduanda-Biduanda Jakun itu di sekitar tebing Sungai Teriang dan didapati sangat subur hidupnya. Menjalarlah pokok labu yang ditanam itu memenuhi kawasan tersebut. Tiba masanya labu itu rajin berbunga, seterusnya berputik dan bila berbuah, buahnya pun sangat banyak.

Sedar dengan keadaan tersebut, Biduanda-Biduanda Jakun itu bermuafakat lalu mengubah nama tempat itu sebagai JALAR LABU, mengambil sempena tuah labu yang tumbuh di situ. Lama kelamaan sebutan Jalar Labu itu bertukar menjadi JELEBU. Demikianlah mulanya nama tanah Jelebu itu.

*******************************************************************************
Nota Kaki: Biduanda (orang bergelar/berkedudukan) Jakun ialah kaum bumiputra di Malaysia dari suku-bangsa Melayu-Proto. Lima lagi pecahan suku-bangsa ini ialah Orang Kuala, Temuan, Semelai, Seletar dan Kanaq.

Thursday, June 18, 2009

BUAH BELULUK


Inilah BUAH BELULUK. Kalau tidak silap saya ia banyak terdapat di belukar negara ini. Masa kanak-kanak dulu kita orang selalu melagukan puisi lisan berkait buah beluluk ni:

Ikut kata enggang
makan buah beluluk
ikut kata orang
tenggelam dalam lubuk..

Memang makna tersurat dan tersirat dalam SELOKA BELULUK ini hebat sangat. Selain itu banyak lagi rahsia yang terungkap dalam buah beluluk ni....

POTRET TUA YANG SAYA TENGOK...


Terima kasih pada lukisan potret ini... membawa isu yang ramai manusia takut, itulah 'TUA'

Dalam hidup ini tua tidak datang diundang.. ia datang dalam keadaan orang tak suka, benci dan marah padanya. Ia tetap datang juga. Begitulah.

Ekspresi wajah yang ditampilkan menyerlahkan situasi tak kesampaian dengan pernyataan mandatori.. mahu atau tak mahu awak mesti terima juga. Hanya ia tetap patuh meneruskan kesinambungan gaya klasik sebuah potret.

Saya nak juga tengok subjek tua ni dalam gaya retro, menggunakan warna-warna panas dan berani... songkok di tukar kepada topi, rambut pendek dan kemas tu tukar kepada panjang, serabut dan tak terurus... namun rias kedut diwajah terus kekalkan sebagai eleman tua yang tidak boleh dibantah dan dipertikaikan. Ya tua dalam dimensi dunia serba moden.

Terima kasih kerana mengingatkan saya tentang usia tua...

MEMORI INDAH SAYA


Dokong ini buah bermusim
isinya manis pangsanya lima
pohonnya kini berbuah rajin
sisinya manggis ayahanda punya.

Tengok buah dokong ini.. pasti saya teringat pohon dokong ayahanda di kampung kami. Tiba musim buah pohon itu akan mengeluarkan kudup-kudup bunga disekeliling batang dan dahannya. Seterusnya ia berbunga, berputik dan muncul gugusan buah-buah bewarna hijau muda yang sangat lebat. Buah-buah itu kalau diasuh oleh air hujan dan embun pagi akan menghasilkan buah yang baik. Ibu akan memancutkan air paip ke pohon dokong itu kalau ia berbuah pada musim panas.

Biasanya dokong ayahanda akan masak ranum bila tiba musim panas. Pokoknya yang rendang itu memudahkan saya memetik segugus demi segugus setiap hari yang terluang. Saya biasanya makan sorang-sorang sebab adik-beradik yang lain lebih suka buah epal dan oren. Ada masanya saya akan panggil ayam kampung peliharaan mak untuk makan bersama-sama saya. saya kopek isi buah dokong itu dan campakkan pada ibu ayam. Seronok melihat ibu ayam itu mematuk ulas-ulas isi dokong sambil berbunyi riuh memanggil anak-anaknya untuk berkongsi menikmati isi dokong yang manis itu.... heheheheh. inilah my sweet memory untuk dikongsi bersama ....

Tuesday, May 12, 2009

Membentuk Kecergasan Otak Anak

Kecerdasan pemikiran dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Faktor baka penting. Jika seseorang itu berketurunan dari orang- orang yang berilmu dan berakhlak murni, insyaallah mudahlah ciri- ciri ini membenih dalam jiwanya.

Tetapi setiap individu boleh mengubah dirinya jika dia mempunyai azam yang kuat untuk mencapai matlamat yang diingininya. Dia mampu mengatasi faktor- faktor yang menyekat kemajuannya.

Umpamanya walaupun keluarga, atau saudaramara yang terdekat tidak ada yang menunjukkan pencapaian yang diidamkannya kerana faktor kemiskinan, tidak mustahil baginya untuk berjaya menjadi seorang cendekiawan atau hartawan yang disegani.

Selain baka, faktor asuhan juga adalah pendorong kepada kecerdasan mental kanak- kanak. Ibu- bapa yang berakhlak mulia, mengasuh anak- anak mereka dengan baik serta memastikan yang segala keperluan anak- anak mereka dipenuhi, anak dididik,ditegur jika berkelakuan sumbang, diawasi supaya tidak terpengaruh dengan anasir anasir negatif.

Faktor Mempengaruhi Perkembangan Anak

Makanan mempegaruhi pertumbuhan dan perkembangan fisikal, mental dan kerohaniah anak anak. Justeru itu makanan mestilah dari unsur yang bersih dan halal. Pemakanan mestilah seimbang untuk memenuhi keperluan fisikal, mental anak yang kian membesar. Didiklah mereka supaya kenal makanan yang baik dan mengamalkan kesederhanaan apabila makan dan minum.

Gejala gejala yang boleh merosakkan perkembangan sahsiah anak anak perlu di kenalpasti dan di benteras. Ini boleh datang dari pelbagai sudut dan kadangkala tidak disedari.

Setiap unsur di persekitaran boleh mendatangkan manfaat tetapi boleh juga merosakkan. Ibu bapa perlu sentiasa menimbang dan tidak mengikut segala kemahuan anak anak. Adakalanya pergaulan perlu disekat kerana dirasakan lebih banyak menyebabkan anak- anak menerap ciri- ciri yang kuranag baik.

Suasana masa kini dengan adanya teknologi maklumat dan komputer yang canggih memerlukan latihan jiwa untuk anak- anak agar mereka tidak mudah diracuni dengan gaya pemikiran yang tidak sihat.

Riadah seperti berenang atau lain- lain jenis sukan adalah baik untuk kesihatan jasmani dan rohani anak-anak. Anak-anak hendaklah di galakkan supaya suka kepada ilmu. Pupuklah sikap suka membaca dan suka berdamping dengan orang yang berilmu dan berakhlak mulia.

Sikap berdikari boleh di pupuk dari kecil lagi dengan memberi tanggungjawab yang bersesuasaian dengan umurnya. Galakkanlah anak- anak supaya rajin berusaha. Didiklah mereka supaya sentiasa bersabar dan mangambil iktibar dari kegagalan. Cara ini akan memupuk sikap berdisiplin dan menanam semangat juang yang kuat. Tekankan pentingnya sikap optimis kerana ia adalah penting bagi anak- anak supaya tidak mudah putus-asa.

Tabiat Pemakanan Yang Baik

Pada peringkat awal, ibu bapa akan mengalami kesukaran untuk membentuk pola pemakanan bayi. Ibu bapa memerlukan masa untuk membiasakan anak-anak dengan tabiat pemakanan yang sihat. Anak-anak biasanya cerewat dan hanya memilih makanan yang mereka gemari sahaja.

Ibu bapa juga digalakkan bersikap fleksibel dan memerhatikan tabiat pemakanannya selama beberapa minggu dan kenal pasti sama ada makanan itu seimbang atau tidak.

Sekiranya tidak, anda perlu membuat beberapa perubahan pada minggu berikutnya. Penggunaan buku nota kecil mungkin membantu. Catitkan apa yang anak kecil anda makan dan tidak suka makan. Daripada senarai ini, anda boleh mengenal pasti sama ada dia memakan makanan yang seimbang atau tidak.

Ibu bapa perlu kreatif dalam menyediakan hidangan anak-anak. Bagi anak-anak yang cerewet, mungkin anda perlukan cara yang menarik untuk memujuknya makan.

Sebagai contohnya :-
Sekiranya anak hanya berminat makan roti, anda boleh menghidangkan pumpkin bread bagi meninggikan khasiat sayuran dan vitamin A dalam makanannya.

Campurkan susu dalam makanannya bagi meningkatkan pengambilan protein dan kalsium.
Masukkan sayur hancur atau pati sayur ke dalam burger, sandwic atau daging yang dimakannya.

Buah-buahan boleh diperah dan diminum bersama yogurt berperisa berkhasiat.Contohnya terbaik ialah campuran pisang, yogurt berperisa vanila dan jus oren.

MENGGALAKKAN ANAK KECIL MAKAN

Selera ialah satu petunjuk yang baik untuk menentukan kuantiti makanan yang diperlukan oleh kanak-kanak jika mereka sihat, diberi makan dengan kerap dan mendpat galakan untuk makan. Sekiranya selera kanak-kanak berkurangan, ia menandakan anda sesuatu yang tidak kena.

Mungkin kanak-kanak itu sakit, tidak gembira atau cemburu dengan kehadirian bayi baru.

Mungkin dia inginkan lebih perhatian dan sedang melalui peringkat “ banyak kerenah”.Mungkin dia diberi makanan yang sama setiap hari dan bosan dengan rasa yang serupa. Sekiranya selera semakin rendah untuk jangka masa yang lama, kanak-kanak itu mungkin mengalami masalah kekurangan zat makanan.

Ibu atau orang bertanggungjawab terhadap kanak-kanak itu perlu menggalakkan dan membantu dengan aktif ketika kanak-kanak itu perlu menggalakkan dan membantu dengan aktif ketika kanak-kanak sedang makan, walaupun ketika dia sihat dan berselera untuk makan. Adalah penting untuk mengawasi anak-anak di meja makan, bermula dari peringkat awal diperkenalkan kepada makanan sehingga berusia 2 tahun. Kanak-kanak yang ditinggalkan sendirian dengan makanan akan makan dalam kuantiti yang tidak mencukupi. Mereka perlukan tempoh yang panjang untuk mempelajari bagaimana memegang sudu. Mereka juga makan dengan lambat,bersepah dan perhatian mereka mudah terganggu. Penting agar kanak-kanak itu diberikan masa yang memadai untuk makan dalam kuantiti yang mencukupi.

INFO

Lemak ialah sumber tenaga yang utama dan satu-satunya sumber asid lemak yang tinggi kerana tumbesaran mereka berlaku dengan pantas dalam usia 1 hingga 2 tahun. Lemak boleh diperolehi daripada susu, keju dan daging merah.

Nasihat untuk para ibu dan pengasuh

Hidangkan makanan anak dalam pinggan yang berlainan bagi memastikan anak mendapat bahagiannya dan kuantiti yang betul.

Duduk bersama anak semasa waktu makan, lihat anak makan, bantu secara aktif dan beri galakan sekiranya diperlukan.

Jangan gesa anak supaya cepat makan. Seorang anak mungkin makan sedikit, berhenti sebentar untuk bermain dan sambung makan sedikit lagi. Menggalakkan anak supaya makan memerlukan kesabaran dan sikat mudah berjenaka!

Apabila anak berhenti makan, tunggu sebentar dan lihat sikapnya terhadap makanan itu. Kemudian, barulah tawarkan makanan tambahan untuknya.

Berikan makanan yang memudahkan anak memegang dan mengutipnya. Anak kecil biasanya ingin menyuap sendiri. Ibu bapa perlu menggalakkan tindakan ini tetapi pastikan anda membantunya dan makanan itu masuk ke dalam mulut sepenuhnya.

Campurkan makanan sekiranya anak suka mengutip dan memilih makanan yang digemarinya sahaja.

Berikan makanan sebaik sahaja anak mula terasa lapar. Sekiranya mereka menunggu terlalu lama untuk makan, mereka akan memberontak dan kehilangan selere makan.

Jangan berikan makanan sekiranya anak mengantuk.

Jangan paksa anak makan. Cara ini meningkatkan tekanan dan semakin mengurangkan selere makan. Waktu makan perlu dijadikan sebagai sesuatu yang bertentangan dan menggembirakan.
Pastikan anak tidak haus (Bagaimanapun, jangan beri terlalu banyak air sebelum atau semasa makan kerana ini akan mengurangkan selera mereka).

Mulakan permainan ringan sekiranya anak tidak mahu meneruskan pemakanannya. Contohnya, andaikan sudu sebagai burung yang datang untuk menyuap anaknya, atau bayangkan makanan sebagai anak patung, orang lain atau mainan binatang.

Bersedia untuk membersihkan meja selepas waktu makan!

Anak yang tidak mahu makan mungkin mahukan perhatian. Ahli keluarga boleh mengelakkan perkara ini dengan menumpukan perhatian kepada anak-anak semasa waktu makan. Berikan pujian sekiranya mereka makan dengan baik. Sekiranya dia enggan, jauhkan makan itu daripadanya untuk beberapa ketika dan berikan semula kemudian. Sekiranya dia masih tidak mahu makan, ini bermakna dia benar-benar tidak suka makanan itu. Mungkin ibu boleh mencuba makanan lain pula.