...seandainya ibubapamu marah padamu kerana kesilapan yang dilakukan olehmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman....

Thursday, August 28, 2008

SEK. KEB. SEPERI TENGAH catatan 2

Hari pertama bersekolah: Saya masih ingat emak mengejutkan saya dari tidur yang lena sejak awal pagi. Waktu itu di kampung saya belum ada kemudahan air paip dan elektrik.

Diterangi pelita minyak tanah, emak memimpin saya ke perigi. Di perigi emak mencedok air dengan timba bertali belati, mencurahnya ke dalam tempayan naga (pasu besar dengan gambar naga). Setelah tempayan naga itu penuh diisi air, emak memandikan saya. Terasa sangat sejuk bila air perigi di hening pagi itu menyentuh kulit badan saya. Siap mandi mak lap seluruh badan saya, dan membalutnya dengan kain cukin (tuala mandi).

Balik ke rumah emak menjinjing sebaldi air sambil saya berjalan di hadapan dalam keadaan tubuh mengiggil kesejukan. Hari masih gelap namun sekeliling kampung telah riuh. Agaknya semua orang kampung bangun awal pagi, macam keluarga saya juga!

Emak menyiapkan saya berpakaian, melumur minyak dan menyikat rambut saya dengan rapi, serta menyapu bedak ke muka saya. Emak kata "amboi segaknya Abang Cik, macam ni la anak mak!". Saya senyum pada mak dan rasa bangga.

Seterusnya mak menyiapkan sarapan pagi: air teh susu panas dengan nasi goreng kesukaan saya. Mak suruh saya makan kenyang-kenyang, takut lapar masa di sekolah nanti. Ajaibnya, tubuh saya yang menggigil bertukar segar dan sangat bersemangat untuk pergi sekolah.... ah hari pertama saya ke alam persekolahan![]

No comments: